Keistimewaan Koleksi Tudung Myza - Tudung 2 dalam 1


Pelbagai rekaan tudung diperkenalkan di pasaran bagi memberi pilihan kepada wanita. Jika dulu, dua bahan diperlukan untuk mengenakan tudung iaitu anak tudung dan tudung sama ada selendang atau tudung segi empat, kini tudung dua dalam satu yang mula diperkenalkan awal tahun ini menjadi pilihan ramai.

Bukan saja ia mudah dan mempercepatkan proses pemakaian, tetapi juga praktikal bagi wanita bekerjaya mahupun pelajar. Melihat kecenderungan trend fesyen hari ini, Myza Worldwide mengambil inisiatif memperkenalkan Koleksi Myza yang menampilkan rekaan unik gabungan anak tudung dan tudung.

Koleksi Myza menampilkan kelainan apabila anak tudung yang turut menutupi bahagian leher dan dada dicantumkan dengan selendang sifon tanpa memerlukan pemakainya melilit atau menggunakan kerongsang kecil bagi mencantumkan tudung pada pertembungan kain di leher.

Presiden Yayasan Pembangunan Nur Hikmah, Ameer Soekre Ishak, berkata rekaan tudung berkenaan mengambil kira cita rasa wanita khususnya yang bekerjaya, seiring dengan gaya hidup golongan hawa hari ini.

“Ketika kita hendak memperkenalkan koleksi ini, kita mengenal pasti keperluan wanita hari ini. Ada rekaan tudung yang menghasilkan gaya sesuai untuk satu majlis saja, contohnya tampak terlalu glamor, tetapi tidak boleh digayakan ke pejabat. Ada pula yang tampak terlalu ringkas, tidak sesuai ke majlis rasmi.

“Antara cadangan yang kita dapat, ialah mereka memerlukan tudung yang mudah dan praktikal. Jadi, daripada situ pereka tudung Myza tampil dengan tudung dua dalam satu ini yang memudahkan pemakaian,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Koleksi Tudung Myza, di Ampang, baru-baru ini.

Pada majlis itu, Myza Worldwide, anak syarikat di bawah Yayasan Pembangunan Nur Hikmah turut memperkenalkan duta bagi Koleksi Tudung Myza, Maizawati Zainal yang bakal tampil menggayakan tudung berkenaan pada pelbagai majlis.

Ameer berkata, koleksi itu menggunakan fabrik sifon Itali yang mempunyai rekaan moden dan eksklusif sesuai dengan imej muslimah hari ini, manakala bagi anak tudung pula memanfaatkan fabrik jersi kapas yang telap peluh dan selesa.

“Pemilihan fabrik dilakukan secara teliti dengan mengambil kira semua aspek. Selain telap peluh, kita juga dapati wanita inginkan fabrik yang lembut dan memeri. Jadi, kain jersi kapas ini memudahkan pengguna tanpa mengira saiz wajah dan ia lembut pada kulit serta mudah dibentuk,” katanya.

Selain sesuai digayakan wanita bekerja, koleksi ini juga disasarkan bagi pelajar dan kanak-kanak dengan rekaan lebih bercirikan keremajaan dan tampak ranggi tidak kira apa saja kegiatan yang dilakukan.

Koleksi Tudung Myza mempunyai pelbagai pilihan warna bagi setiap rekaan, namun buat permulaan hanya ada lapan warna saja yang disediakan.

Bagi mereka yang berminat untuk membeli tudung Myza, boleh melayari laman web www.myza.com.my dengan memilih warna atau rekaan yang bersesuaian dengan cita rasa masing-masing.

Myza Worldwide juga menjemput wanita yang berminat untuk menjadi usahawan dengan menjadi wakil pengedar bagi jenama itu. Untuk maklumat lanjut, e-mel ke alamat info@myza.com.my.

INFO: Empat keistimewaan tudung Myza:

* Mudah dipakai - Pemakai hanya perlu menyarungkan tudung kerana tudung Myza mencantumkan anak tudung dan tudung.

* Fabrik bermutu - Tudung Myza diperbuat daripada kain jersi kapas dan tudungnya daripada kain sifon, sekali gus menjamin telap peluh dan sesuai dengan cuaca di Malaysia.

* Harga murah - Setiap tudung berharga daripada RM55 hingga RM180. Ini agak murah kerana pada satu harga boleh dapat dua bahan (anak tudung dan tudung).

* Hasil tangan - Berbanding tudung lain yang dibuat secara pukal di kilang, tudung Myza pula menggunakan hasil tangan secara manual oleh wanita di Felda Tronoh, Perak. Ini menjamin hasil yang bermutu.