Rempah Bonda
Kerumitan menjalankan penyelidikan sehingga berbulan-bulan lamanya, malah berkali-kali juga ramuan yang siap diadun terpaksa dibuang kerana tidak mencapai tahap diinginkan, tidak pernah memadamkan keazaman wanita kental ini.
Pengasas produk Bonda, Zawiyah Ahmad, berkata pernah juga beliau dituduh memasarkan produk keluaran syarikat bukan Bumiputera melalui label berbunyi kemelayuan, namun perasaan yang terguris dipendam kejap di dalam hati.
“Itu antara secebis pengalaman yang pernah saya lalui sepanjang setahun memasarkan produk rempah-ratus menggunakan jenama Bonda, tapi kini saya bangga kerana ia sudah mula mendapat tempat di kalangan wanita terutama ibu bekerjaya,” katanya.
Produk Bonda yang dipasarkan melalui Cabarawet Bonda iaitu anak syarikat Cabarawet Holdings Sdn Bhd mempunyai kelebihan tersendiri berbanding produk masakan mudah sedia dijual di pasaran.
Selain dikisar dan diadun sendiri di rumah, ramuan yang pada mulanya hanya dipasarkan kepada rakan dan jiran tetangga itu juga lebih istimewa kerana dihasilkan tanpa menggunakan sebarang bahan pengawet.
“Mungkin ada yang musykil bagaimana produk Bonda boleh tahan lama walau tidak dimasukkan bahan pengawet, tapi itulah rahsia yang terkandung di dalam adunan resipi Bonda.
“Namun, tempoh hayat produk antara tiga hingga enam bulan agak singkat berbanding produk segera lain menyebabkan kami terpaksa bekerja keras termasuk mengutip semula semua produk yang sudah tamat tempoh di pasaran bagi menjaga kualiti dan nama produk,” katanya.
Mensasarkan wanita moden yang bekerjaya sebagai pelanggan utama memberikan ilham kepada Zawiyah untuk mengeluarkan rempah-ratus yang mudah dimasak dengan hanya menggunakan campuran air.
“Memasak kadangkala melecehkan, ditambah pula jika anda sibuk bekerja. Justeru, penghasilan produk Bonda adalah jalan penyelesaian paling mudah bagi menggalakkan wanita menyediakan sajian untuk seisi keluarga walaupun sering kesuntukan waktu.
“Malah, ibu-ibu juga tidak perlu lagi bersusah payah mengadun tepung untuk hidangan pagi kerana Bonda turut mengeluarkan dua jenis tepung lempeng iaitu lempeng pisang dan lempeng kelapa yang begitu mudah disediakan,” katanya.
Istimewanya Bonda, semua tujuh produk iaitu yang boleh digunakan di dalam tiga jenis masakan iaitu sup (rempah sup istimewa), soto; pes taucu, pecal dan kacang tumbuk serta tepung untuk membuat lempeng perisa pisang dan kelapa adalah antara resipi bercirikan tempatan yang hampir dilupai ramai generasi muda sekarang.
Bonda memiliki keunikan dan kekuatan cita rasa yang tersendiri. Sebagai contoh, penggunaan rempah-ratus Bonda untuk masakan sup mampu menghasilkan aroma yang membangkitkan selera kerana bahan asli yang digunakan adalah yang terpilih dan tanpa bahan pengawet.
Kata Zawiyah, bagi menjamin kualiti, produk Bonda hanya dihasilkan di dalam kuantiti yang sedikit iaitu sekitar 30 hingga 40 kilogram sebulan. Bagaimanapun, bagi memenuhi permintaan sasaran selain memperkukuhkan jenama Bonda, syarikat ini akan turut mengeluarkan lima produk baru antaranya pati ros, cuka, rempah rendang dan tepung goreng ayam ke pasaran tidak lama lagi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Caberawet Holdings, Mohd Azhari Ahmad, berkata pasaran Bonda akan terus diperluaskan ke seluruh negara.
Kini, Bonda boleh didapati di Selangor dan Kuala Lumpur serta bakal menembusi pasaran Sabah dan Sarawak tidak lama lagi.
Oleh Siti Nur Almizan Aripin