Bagi sesetengah orang, makan nasi tanpa ulam ibarat minum kopi tanpa gula. Tentu kopi menjadi tawar dan hilanglah selera. Begitulah kuatnya penangan ulam-ulaman dalam membantu menaikkan selera seseorang ketika menikmati hidangan.
Jika hidangan Barat memerlukan salad bersama dressing sebagai pembuka selera, apa kurangnya ulam-ulaman tempatan yang enak dimakan bersama sambal belacan, cencaluk, budu, air asam, sambal tempoyak, sambal kicap dan pelbagai lagi jenis sambal.
Atas alasan itulah, M. Rozaimi Muhammad mengambil keputusan membuka Restoran Nasi Ulam di Bangi, Selangor kerana percaya ia mempunyai peminat setianya yang tersendiri.
“Masakan kampung tempatan bersama ulam-ulaman menjadi menu utama di restoran ini. Tidak ketinggalan juga kami hidangkan masakan selatan Thai. Setiap hari, lebih daripada 40 hidangan disediakan dan ia ditukar-tukar agar pelanggan tidak jemu,” ujarnya.
Pelbagai jenis ulam-ulaman kampung seperti jantung pisang, terung pipit, jering, petai, ulam raja, daun pegaga, daun putat, daun gajus, nangka muda, daun selom, peria, kacang botor dan banyak lagi terdapat di sini.
Begitu juga dengan masakan tempatan yang disediakan, semuanya membangkitkan selera. Antaranya masak tempoyak ikan patin, ayam pandan, masak lemak rebung, ikan bakar, pekasam goreng, sup bebola daging, masak lemak ketam dan banyak lagi.
Selain itu, masakan dari kampung M. Rozaimi, Kelantan, turut dihidangkan seperti nasi kerabu, laksam dan nasi dagang.
Menurut beliau, sepanjang Ramadan ini, selain juadah berbuka yang terdapat di restoran, peminat Nasi Ulam juga boleh mendapatkan hidangan ini di pasar Ramadan kompleks PKNS Bangi.
“Waktu operasi restoran juga dilanjutkan hingga pukul 5.30 pagi bagi memberi peluang pelanggan menikmati sahur di sini,” katanya.
Berbeza dengan juadah berbuka, untuk sahur dan makan malam disediakan hidangan Thai ala carte seperti tomyam, makanan laut, pelbagai jenis nasi goreng, mi, kuetiau dan banyak lagi.
Kuih-muih tradisional Melayu dan Kelantan turut disediakan. Bukan mudah mendapatkan pulut seri muka yang enak kecuali jika anda berkunjung ke sini. Selain itu, pelbagai jenis bubur juga dijual.
Restoran Nasi Ulam juga menawarkan perkhidmatan katering untuk korporat, majlis persendirian, perkahwinan dan lain-lain.