Bingkai gambar klasik Royal Selangor


Bercorak ringkas serta anggun bagi rekaan Reed dan Empire.

Biar sekadar bingkai gambar kadang kala membawa makna cukup mendalam apatah lagi jika ia pemberian insan tersayang bagi melekatkan potret yang merakam momen-momen indah.

Pilihan bingkai gambar sebagai hadiah memang tidak mengecewakan lebih-lebih lagi daripada koleksi Bingkai Kelasik (Classic Frames) Royal Selangor. Selepas dilancarkan pada awal 2009 dan mendapat maklum balas memberangsangkan, kini ditampilkan pula tiga saiz baru - 6R, 8R dan segi empat tepat - bagi rekaan Reed dan Empire.

Bercorak ringkas serta anggun, hiasannya yang tersendiri diinspirasikan oleh corak-corak halus klasik yang biasanya dapat dilihat dalam seni bina dan hiasan ukiran kurun ke-17 dan ke-18.

Diperbuat daripada Stanniu, iaitu loyang proprietari yang diperkenalkan oleh Royal Selangor, setiap bingkai menggunakan kemasan antik.

Ringkas namun bergaya, mana-mana ruang hiasan dalaman pasti lebih lengkap dengan rekaan-rekaan ini.

Permukaan kosongnya boleh diukir, menjadikan bingkai ini turut sesuai sebagai cenderamata untuk semua majlis.