Mayangsari Resort Dungun

tak perlu mengeluarkan belanja tinggi bercuti bersama keluarga jika hanya sekadar mahu menikmati juadah makanan di atas pondok di tepi kolam sambil menghirup udara segar serta melihat pelbagai spesies ikan berenang seperti disediakan kebanyakan hotel di Bali, Indonesia.

Sebaliknya, dengan hanya mengeluarkan perbelanjaan antara RM200 dan RM400, Mayangsari Resort Dungun yang terletak berhadapan Laut Cina Selatan di kawasan pesisir Pantai Teluk Lipat, Dungun, turut menyediakan percutian ala Bali untuk pengunjung.


Belum ada hotel ataupun resort di Terengganu menyediakan sebanyak 31 kolam, termasuk kolam ikan di setiap bilik dan 15 unit pondok berhampiran kolam mandi, melainkan Mayangsari Resort Dungun.

Istimewanya, bermula daripada reka bentuk atap sehingga 28 bilik berkembar, seni binanya menyerupai beberapa hotel serta resort yang terdapat di Bali, Indonesia, selain keunikan batang nibung sebagai penghias tiang sokongan.

Tidak hairanlah, 15 unit mengandungi 28 bilik ala Bali yang dinamakan sebagai Pool Villa turut disediakan dengan kemudahan 15 kolam mandi dan kolam ikan menjadi pilihan utama pengunjung resort.
PONDOk di tepi kolam antara tarikan utama pengunjung yang bercuti di Mayangsari Resort Dungun.

Sambil menghirup udara segar dan menikmati pelbagai juadah tradisonal disediakan tukang masak tempatan di atas pondok disediakan di tepi kolam, pengunjung tidak perlu bimbang keselamatan anak-anak yang begitu riang mandi manda di kolam.

Pengurus Mayangsari Resort, Taufek Mohamad, berkata selain Pool Villa satu dan dua bilik, turut disediakan untuk kemudahan pengunjung ialah 19 bilik Garden Villa, 20 bilik Fountain Villa dan 20 bilik Water Villa serta 10 dorm yang boleh menampung 120 pengunjung.

Pengunjung yang memilih menghabiskan percutian ala Bali di Mayangsari Resort Dungun tidak perlu risau mengenai makanan, kerana Majlis Perbandaran Dungun (MPD) menyediakan lebih 50 gerai makanan sepanjang jalan menuju ke Mayangsari Resort.

Taufek berkata, jika pengunjung ingin menukar selera, mereka boleh memilih untuk makan malam dan tengah hari di beberapa gerai disediakan MPD, termasuk gerai ikan bakar segar di Kuala Dungun yang jaraknya hanya dua kilometer dari resort itu.
REKA bentuk bumbung Mayangsari Resort ala Bali menarik perhatian pengunjung.

Turut disediakan pengurusan Mayangsari untuk kemudahan pengunjung ialah pelbagai peralatan permainan sukaneka dan pakej termasuk bot untuk mereka yang gemar memancing di perairan Pulau Tenggol.

Selain itu, pengurusan Mayangsari turut menyediakan kemudahan dewan yang boleh menampung 120 orang, selain kolam renang terbuka.

Pengunjung yang memilih untuk bercuti ala Bali di Mayangsari Resort tentunya tidak akan merasa kecewa kerana ketibaan mereka disambut dengan senyuman manis lebih 40 pekerja yang 98 peratus terdiri daripada anak Dungun.

Taufek berkata, pengurusan Mayangsari akan melabur sebanyak RM1 juta untuk menyediakan lebih banyak bilik penginapan termasuk dorm dan dewan yang boleh menampung 300 peserta untuk menganjurkan pelbagai kursus tahun depan.