Sebarang pertanyaan mengenai rawatan spa di Spa Ancasa,hubungi 06 - 6627288 (Port Dickson) atau 03 - 20266060 (Kuala Lumpur).
Penat tubuh dan minda dihambat kerja-kerja pejabat yang tidak berkesudahan membuatkan ramai warga kota memilih rawatan spa untuk memanjakan diri.
Memang ada ratusan spa di ibu negara yang boleh dipilih. Daripada yang satu bintang hingga ke lima bintang. Tetapi apa kata lakukan dua dalam satu - legakan kepenatan tubuh dengan urutan sambil itu bercuti jauh daripada hiruk-pikuk kota.
Destinasi terbaik mungkin ke Spa Ancasa yang menjanjikan rehat maksimum dalam suasana urutan oleh terapi profesional sambil dihembus bayu laut dan desiran ombak.
Terletak di Ancasa AllSuites Resort & Spa, Port Dickson, spa berkonsepkan tradisional Bali ini menawarkan pilihan rawatan dari hujung rambut hingga kaki bagi menyeimbangkan kembali minda yang kusut dan tubuh yang letih.
Malah kelegaan mula terasa seawal kaki melangkah masuk ke kawasan spa dengan kehijauan landskap taman Bali.
Ditambah pula sayup-sayup kelunakan lagu-lagu Bali yang menenangkan.
Kemudian pengunjung berpeluang membasahkan tekak secawan air halia panas yang menyegarkan sebelum rawatan bermula.
Menurut Pengurus Perhubungan Awam Ancasa Hotels and Resorts, Melinda Marie Ambrose, perkhidmatan yang paling popular ialah urutan aroma terapi 60 minit yang hanya berharga RM175.
Katanya, urutan ini amat memberi kelegaan yang mana pengunjung diberi peluang memilih minyak pati aroma yang jadi kegemaran daripada serai wangi, lavender, kayu cendana, ylang-ylang, bunga kemboja dan sebagainya.
"Apa yang pasti produk yang kami gunakan adalah dari sumber alami dan kebanyakannya dari jenama Forests' Secret yang memberi ketenangan seiring dengan suasana nyaman spa," katanya.
Rawatan lain yang boleh dinikmati pengunjung termasuk urutan kaki bagi membantu meningkatkan peredaran darah dan mengembalikan kesegaran tubuh.
Bagi ingin merias kuku disediakan rawatan manicure (RM75) dan pedicure (RM85), di samping skrub badan (RM120) dan urutan muka (RM110 ).
Begitupun kata Melinda, pengunjung resort boleh menikmati pakej istimewa dua hari tiga malam pada harga RM438 meliputi penginapan di suite satu bilik, sarapan pagi dan urutan aroma terapi selama 45 minit untuk dua orang.
Dalam pada itu, bagi yang tidak berkesempatan memandu jauh ke Port Dickson, tidak perlu gusar kerana masih berpeluang memanjakan diri di Spa Ancasa yang terletak di tingkat dua Ancasa Hotel & Spa, Kuala Lumpur.l
Oleh NOOR FAZRINA KAMAL