Nokia N9 dilengkapi skrin Amoled tahan calar

NOKIA Malaysia (Nokia) memperkenalkan satu lagi inovasi penciptaan telefon bimbit pintarnya iaitu Nokia N9 yang dilengkapi skrin peka sentuhan dan reka bentuk lebih bergaya dengan pilihan tiga warna (hitam, biru muda dan magenta).

Ketua Pemasaran Singapura, Malaysia dan Brunei Nokia, Antony Wilson berkata, produk itu bakal menjengah pasaran Malaysia mulai Oktober dengan harga antara RM1,799 hingga RM2,088 mengikut model.

“Nokia N9 yang boleh membuat berbilang tugas pada satu masa sesuai bagi mereka yang sibuk dan memerlukan kepantasan semasa mengakses produk ini. Selain itu, ia juga mempunyai gaya yang lebih berani dengan penampilan dua warna cerah untuk kelihatan lebih bergaya.

“Pengguna masih boleh mengakses skrin utama mereka ketika mendengar muzik atau menonton video apabila mereka hanya perlu meleretkan paparan video tanpa perlu menutupnya,” katanya pada majlis pelancaran produk itu di Kuala Lumpur.


Katanya, Nokia N9 dilengkapi skrin Amoled 3.9 inci tahan calar dan kerangka polikarbonat mampu memberikan prestasi antena yang optimum, sekali gus menghasilkan resepsi yang lebih baik untuk kualiti suara. “Produk baru ini turut dilengkapi kamera lapan megapiksel, lensa Carl Zeiss, sistem operasi MeeGo 1.2 Harmattan, berdimensi 116.45 x 61.2 x 7.6-12.1 milimeter, serta berat hanya 135 gram,” katanya.