Sebut saja sate, siapa yang tidak terliur? Terngiang-ngiang di benak fikiran akan keenakan daging ayam, lembu, kambing yang diperap, dicucuk pada batang lidi lalu dibakar. Mana tidaknya, sate antara hidangan tradisional yang sangat digemari pelbagai lapisan masyarakat.
Keenakannya juga tidak dinafikan oleh pelancong asing yang sukakan cita rasa sajian enak dari kampung. Keunikan sate tidak perlu diungkapkan lagi kerana sajian berkenaan sememangnya terkenal di seluruh Asia.
Lazimnya, memanggang sate tidak memerlukan ruang besar, cukup sekadar dapur arang barbeku. Oleh itu, banyak restoran atau kedai makan turut menyediakan sajian enak berkenaan di luar kedai masing-masing bagi menarik lebih ramai pelanggan.
Tampil kelainan dan lebih eksklusif, restoran Satay Club yang menyediakan aneka jenis sate mula beroperasi di pusat beli-belah Jusco AU2, Taman Setiawangsa. Konsep dalaman lebih selesa, susun atur perabot ringkas serta diiringi alunan muzik romantik, bagai mencapai kepuasan sejati di kalangan pelanggan yang datang.
Dibuka sejak Disember tahun lalu oleh syarikat Saji Bumi Sdn Bhd, Satay Club menampilkan 14 jenis sate dari daging yang terbaik. Antara sate yang biasa dinikmati ialah daging ayam, lembu, itik dan kambing. Lebih menarik, pelanggan turut berpeluang mencuba sate enak bersama insan dan keluarga tercinta daripada daging rusa, burung puyuh, udang harimau, cumi-cumi, kekapis, perut lembu, paru lembu, hati ayam, tongking ayam dan juga lidah lembu.
Ketua Pegawai Eksekutif Saji Bumi, Mohamed Suhaimi Hamidin, berkata dengan pengenalan Satay Club, ia bagaikan menghidupkan semula warisan dulu kala.
Tidak hanya menyediakan hidangan sate, malah pelanggan boleh mencuba sajian tempatan lain dalam keadaan yang selesa.
“Seperti sajian lain yang dimulakan dengan pembuka selera dan hidangan ringan sebelum menyajikan menu utama, Stay Club juga menyediakan sajian popiah goreng, cucur udang dan rojak campur sebagai pembuka selera.
“Antara sajian utama lain yang boleh dipilih ialah soto ayam, lontong dan juga pelbagai jenis ikan panggang. Tidak ketinggalan, pemanis mulut seperti bubur pulut hitam, bubur cha-cha, cendol dan ais kacang turut disediakan pada penghujung sajian,” katanya.
Istimewa selepas menikmati sajian, pelanggan juga boleh mencuba kek durian, pisang dan mangga pada harga berpatutan iaitu RM8.90 setiap potong. Terlebih dulu, bagi sajian sate, harganya juga cukup istimewa iaitu antara RM1.20 hingga RM4.50 satu cucuk.
Restoran eksklusif sate tempatan itu boleh memuatkan kira-kira 150 pelanggan paada sesuatu masa. Malah, dijangkakan Saji Bumi akan membuka empat lagi cawangan Satay Club di sekitar Lembah Klang dalam tempoh tahun ini.
Hiasan dalaman main peranan. Di Satay Club menggunakan koleksi gambar lama pelbagai lapisan masyarakat yang khusyuk menikmati sajian sate di gerai makan sebagai identiti tersendiri. Dari situ, kita boleh tahu bahawa sate juga antara hidangan warisan masyarakat Melayu lama yang tidak akan pupus dek zaman moden yang serba canggih.
Restoran Satay Club
Lokasi: Lot G30 & G35, Jusco AU2 Shopping Centre,
No. 6, Jalan Taman Setiawangsa (Jalan 37/56),
AU2, Taman Keramat, 54200 Kuala Lumpur.
Telefon: 03-42577528
Operasi setiap hari: jam 10 pagi hingga 10.30 malam.