Kot Muslimah

Walaupun kot panjang merupakan fesyen biasa bagi wanita di Iran namun keselesaan pakaian ini menjadikannya turut diminati oleh wanita Malaysia.



Kedatangan ramai pelancong daripada Asia Barat dengan fesyen mereka menjadi tarikan kepada wanita di negara ini yang turut tertarik untuk bergaya seperti mereka.

Kot panjang paras lutut yang boleh dipakai bersama seluar panjang merupakan salah satu daripada fesyen muslimah moden bagi wanita yang suka bergaya dan dalam masa sama mengekalkan kesopanan.

Justeru, fesyen kot panjang ini dengan mudah diminati oleh golongan penuntut institusi pengajian tinggi dan wanita muda berkerjaya.

Rekaan yang menarik dengan kolar lebar, berbutang besar, berpoket dan boleh dipakai bersama tali pinggang, cantik dipadankan dengan tudung atau selendang panjang.

Dibuat daripada fabrik yang selesa seperti kain kapas dan kain jeans lembut, kot panjang ini sesuai sebagai pakaian untuk ke pejabat, kasual, bercuti atau bersiar-siar.

Banyak corak yang boleh dipilih sama ada yang tidak bercorak, corak jalur, corak bunga dan abstrak.

Apa yang menarik, dengan hanya satu seluar panjang, si pemakai boleh menggayakan dengan beberapa helai corak dan potongan kot panjang.

Bagi yang tidak selesa berseluar panjang, kot panjang ini juga cantik jika dipakai bersama kain potongan A atau skirt panjang daripada kain jeans.

Sempena bulan Ramadan, Ali Muslimah Fashion mengadakan jualan murah bagi pelbagai rekaan kot panjang dan inilah masanya untuk anda mendapatkan kot yang anda sukai.

Oleh MERAN ABU BAKAR