KETAWA dan makan angin. Itulah peluang yang ditawarkan kepada penonton musim kedua siri komedi Alamak.
Mereka yang bernasib baik mampu memenangi hadiah percutian ke Bali, Indonesia.
Siri itu dibintangi Zaid, Jeff, Pak Ya dan Badrol serta penampilan pelakon jemputan seperti Pian Cecupak, Azura Zainal, Mazin Siraj dan M Subash. Program komedi terbitan Ritz Channel itu ke udara sebanyak 26 episod termasuk dua episod khas hari raya yang dibuat bersama Datuk Aziz Sattar dan model jelita dari Pulau Pinang.
Antara sketsa terbaru ialah Restoran Mamak. Badrol mahu memakan telur. Selepas pekerja membawa telur mata kerbau, dia menolak dan meminta telur lain.
Kemudian pekerja itu membawa telur dadar namun Badrol masih enggan memakannya. Perkara itu menimbulkan kemarahan dan akhirnya dia membawa telur yang membuat si Badrol sendiri terperanjat!
Segmen Tamil, Interview Bollywoooood menemukan pengacaranya, PK Raj dan si gemuk buta, Shree. Mereka mengendalikan temuramah mengenai isu semasa yang mencuit hati.
Tidak ketinggalan gelagat Doktor 80-an yang menampilkan Doktor Sewel, Dr Monti dan Dr Logi. Kali ini, sambil membaca carta klinik, mereka memberi laporan mengenai status pembedahan yang bakal dihadapi oleh Zaid.
Dalam kisah hantu berusia 200 tahun yang menetap di istana berpuaka, Drakula semakin mengganas. Dari episod pertama sampailah sekarang, dia tidak berjaya menghisap darah mangsanya. Kali ini, dia makin bersemangat. Berjayakah Drakula?
Artis jemputan, Mazin Siraj dari Sehati Berdansa akan turut muncul di kedai jual keretanya. Aziz Sattar pula membuat penampilan bersama tiga pelajarnya dalam 'tribute' kepada filem Pendekar Bujang Lapok.
Pelakon, penulis skrip, pengarah dan penerbitnya, Zaid Zahari memberitahu dia melihat program komedi berkenaan mampu ditayangkan di layar perak berdasarkan sambutan menggalakkan daripada penonton.
"Saya bersyukur kerana sokongan kuat yang diberikan kepada penonton menjadikannya antara program komedi popular tanah air.
"Penonton juga sudah menerima dan memahami lawak yang disampaikan oleh barisan pelakon yang terbabit secara tidak langsung ini sebagai penanda aras buat pihak penerbitan untuk menghasilkan karya yang bermutu pada masa depan," katanya.
Sebarang pertanyaan dan komen mengenai setiap rancangan sila layari laman web www.alamaktv.com.