Sony Ericsson XPERIA
SEKALI imbas kalau diperhatikan tidak banyak perbezaan dapat dilihat antara model Sony Ericsson XPERIA mini dengan XPERIA mini pro.
Namun begitu, sebenarnya model telefon bimbit terbaharu XPERIA mini pro telah dipertingkatkan dengan skrin sentuh bersama papan kekunci QWERTY.
Berbanding model terdahulu peranti kompak ini didatangkan dengan papan kekunci yang mampu memudahkan proses menaip.
Apabila menggunakan papan kekunci ini anda akan mendapati paparan skrin peranti berkenaan akan berada dalam keadaan menegak atau melintang mengikut kesesuaian pengguna.
Walaupun model terbaharu ini menyediakan papan kekunci QWERTY, reka bentuk bersaiz kecil yang ditekankan dalam pembikinannya masih unggul dan memukau pengguna.
Kerangka yang kemas dan kompak menepati cita rasa gaya hidup penggemar peranti serba moden pada hari ini.
Dari segi rakaman pula, XPERIA mini pro dilengkapi kamera lima megapiksel untuk memastikan imej pegun berkualiti dapat dirakam pengguna.
Bagi memudahkan proses rakaman hanya terdapat empat butang utama disediakan iaitu kamera atau kamkoder, galeri, mod scene dan flash.
Pengguna juga boleh menggunakan geo-tagging yang dapat memberi informasi rakaman dilakukan agar kenangan indah dalam kehidupan dapat disemadikan buat selama-lamanya.
Peranti kompak yang menyokong sambungan wayarles WiFi itu juga menghubungkan pengguna dengan alam maya di hujung jari mereka.
Mereka yang gemar berhibur, XPERIA mini pro turut didatangkan bersama radio FM. Dengan menyediakan antara muka yang mudah dikendalikan, pengguna dapat menikmati saluran kegemaran mereka di mana-mana sahaja.
XPERIA mini pro ditawarkan dengan tiga warna ranggi iaitu hitam, merah dan putih, boleh dimiliki pada harga RM1,180.
Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM