Dari pandangan luar, Downtown Coffee & Tea Cafe yang terletak di Medan Niaga Rampai, Wangsa Maju kelihatan saling tidak ubah seperti kafe biasa di ibu kota.
Namun, sebaik saja kaki melangkah ke ruang dalam restoran dua tingkat itu, telahan awal berubah melihatkan suasana susun aturnya yang mirip dekorasi restoran mewah.
Moden, kemas dan penuh gaya. Pastinya menggamit kunjungan malah tidak keterlaluan jika dikatakan lokasinya sesuai untuk mereka yang tercari-cari kafe ekslusif bagi meraikan hari istimewa.
Di Downtown Coffee & Tea Cafe, menu istimewanya adalah siri kopi atau coffee series bersama pilihan makanan tradisi dan moden, yang pasti, semuanya terpulang pada selera anda ketika berkunjung.
Pengurus Besarnya, Azhari Mokhtar, berkata Downtown Coffee & Tea Cafe masih berpegang kepada konsep sebuah kedai kopi namun diolah mengikut cita rasa tersendiri.
“Apa yang penting, walaupun dihias indah, sajian makanan dan minuman di sini dijual bersesuaian harga pasaran malah kebanyakannya dijual di bawah RM10,” katanya.
Dirasmikan Julai lalu, majlis disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob. Hadir sama, Pengarah Urusan Downtown Coffee & Tea Cafe, Richard Liew; Pengarah Eksekutifnya, Sharkawy Hazim Shafie dan dutanya, Datuk Lee Chong Wei.
Kata Azhari, sehingga kini Downtown Coffee & Tea Cafe menyajikan enam jenis kopi yang diadun istimewa antaranya Downtown White Coffee, Heritage Coffee dan Downtown Delight White Coffee.
“Bagi memberikan kelainan kepada peminat kopi sejati, kafe ini akan menambah adunan kopi baru setiap bulan.
“Selain itu, kafe kami juga menawarkan hidangan minuman berkhasiat bagi mereka yang peka mengenai kesihatan antaranya jenis minuman kacang soya atau minuman penyahtoksin,” katanya.
Di Downtown Coffee & Tea Cafe juga, hidangan disajikan terdiri daripada menu popular pilihan masyarakat Melayu, Cina dan Barat seperti char kuey teow, asam laksa, mi kari, nasi ayam Hainan dan pelbagai jenis sup.
Jika tidak berpeluang singgah menikmati secangkir kopi di waktu petang, mungkin set sarapan pada harga istimewa mampu menarik kunjungan anda ke sini.
“Setiap pagi kami menyediakan enam jenis set sarapan hanya pada harga RM4.20 merangkumi makanan dan minuman,” katanya sambil memberitahu kemudahan seperti surau dan Wifi turut tersedia.
Lokasi: Downtown Coffee & Tea Cafe, 2, Jalan Rampai Niaga 4, Medan Niaga Rampai, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Laman web: www.downtowncoffeetea.com