Bamboo Lace: Pakaian dalam mesra alam

Mengetengahkan manfaat semula jadi kepada pengguna dan alam sekitar, buluh juga memainkan peranan penting dalam dunia fesyen hari ini. Ia memiliki ciri yang wanita ingini iaitu fabrik eko, fabrik kapas diperbuat daripada gentian buluh.



Fabrik kapas daripada gentian buluh itu sangat lembut seperti kain kapas yang mudah menyerap, mengunci kelembapan selain mempunyai ciri antibakteria. Ini kerana buluh mampu menyingkirkan kelembapan dan fabrik daripada pokok itu mampu menggalakkan pengedaran udara.

Menyedari tanggungjawabnya pada masyarakat dan ekologi, jenama pakaian dalam terkenal, Triumph membawa wanita mendekati alam sekitar dengan memperkenalkan rangkaian renda kapas buluh terbaru, Ecochic Bamboo Lace.

Koleksi berkenaan diperbuat daripada gentian buluh sekali gus menjadi jenama pertama yang menawarkan manfaat kepada pengguna menerusi pengeluaran pakaian dalam berkonsepkan penggunaan alam semula jadi.

Rangkaian terbaru itu memberikan pelbagai kombinasi sulaman pakaian dalam menarik lagi menawan dengan sentuhan renda yang cantik. Koleksi itu terdiri daripada coli jenis tali yang boleh tanggal dengan mangkuk saiz ½ kepada saiz ¾ bersama koleksi seluar dalam berpadanan hingga ke anak baju rona putih krim dan warna kulit.

Koleksi coli, seluar dalam dan anak baju itu memastikan pakaian yang menyentuh kulit paling semula jadi, tulen dan bebas daripada toksin. Pilihan terbaik buat wanita yang sering mengalami kulit sensitif atau mudah naik ruam, di samping bebas daripada sebarang penggunaan pewarna, peluntur dan bahan kimia, ia secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko pada alahan kulit dan reaksi.

Rangkaian Bamboo Cotton Lace berkenaan boleh didapati di semua pusat beli-belah bermula Oktober. Ia bukan saja rasa selesa dan hebat pada kulit malah pilihan yang wajar demi kesejahteraan alam sekitar.

Oleh Hidayah Mohammad