Pendapatan lumayan dengan Nuffnang

Cakap sahaja Nuffnang, mustahil jenama komuniti pengiklanan blog itu tidak dikenali oleh blogger-blogger di seluruh Malaysia. Tidak hairan juga, jenama itu amat dikenali di negara-negara jiran terutama Singapura, Australia dan Filipina.



Sumbangan Nuffnang amat besar buat komuniti blogger yang menjadikan jenama itu sebagai platform untuk menjana pendapatan sampingan yang lumayan. Tidak keterlaluan jika dikatakan pendapatan yang diperoleh daripada Nuffnang adakalanya melebihi pendapatan pekerjaan tetap.

Iklan-iklan daripada Nuffnang yang merupakan komuniti pengiklanan blog pertama Asia Pasifik kini boleh dilihat di lebih 100,000 buah blog oleh lebih tiga juta orang setiap hari.

Ia membenarkan pengiklan untuk memaparkan iklan grafik dan video di blog-blog dalam pelbagai genre. Kejayaan Nuffnang kini dapat dilihat melalui pembangunan pejabatnya di empat buah negara iaitu Malaysia, Singapura, Filipina dan Australia.

Menarik tentang syarikat Nuffnang Sdn. Bhd. yang terletak di Kuala Lumpur, ia diteraju jejaka yang baru berusia 26 tahun. Timothy Tiah, sebagai pengarah urusan, turut meneraju cawangan Nuffnang bersama pengasas bersama, Cheo Ming Shen yang kini menguruskan pejabat di Singapura.

Menurut Timothy, blogger mampu menjana pendapatan lumayan berdasarkan jumlah pelawat blog. Semakin tinggi jumlah pelawat semakin tinggi pendapatan sehingga mampu mencapai puluhan ribu ringgit dalam masa sebulan.

"Kami menguruskan iklan-iklan yang akan dipaparkan dalam blog yang berdaftar tanpa mengenakan bayaran kepada blogger. Blogger hanya perlu menjalankan kerja editorial untuk iklan masing-masing bagi menjana pendapatan.

"Selain itu, kami juga menganjurkan majlis-majlis untuk blogger seperti tayangan filem, seminar, bengkel, parti dan sebagainya untuk merapatkan hubungan sesama komuniti blogger di bawah Nuffnang," katanya.

Menceritakan kewujudkan Nuffnang, Timothy memberitahu idea itu timbul di London ketika dia dan Ming Shen berbual mengenai pelan perniagaan mereka apabila pulang ke tanah air. Kedua-dua mereka adalah pelajar jurusan perniagaan dan bermula sebagai blogger.

"Kami berbincang mengenai perniagaan yang ingin kami jalankan selepas pulang ke Malaysia dan Singapura. Kemudian timbul idea untuk berkolaborasi mewujudkan Nuffnang selepas mempertimbangkan populariti blog yang semakin meningkat.

"Kami melakukan sesuatu yang belum pernah dilakukan oleh orang lain dan ia mendapat sambutan yang memberangsangkan hanya selepas beberapa tahun syarikat itu ditubuhkan," katanya mengenai syarikat itu yang memulakan pejabat pertamanya di Pulau Pinang pada tahun 2006.

Katanya, pada akhir tahun pertama Nuffnang ditubuhkan iaitu pada tahun 2007 mereka berjaya mengumpulkan sebanyak 7,523 orang blogger dan ia meningkat kepada 30,708 pada tahun 2008. Tahun 2009 pula jumlahnya meningkat kepada 68,455 orang, manakala sehingga Ogos lalu jumlahnya ialah 105,464 orang blogger.

"Komuniti blogger Nuffnang meningkat dengan pantas dan ini menunjukkan blog menjadi medium pengiklanan yang mendapat sambutan hangat daripada klien pengiklan. Ia menjadi pilihan baru selain medium utama iaitu media cetak dan elektronik.

"Bagaimanapun, untuk berjaya sebagai blogger yang berpendapatan tinggi, seseorang itu mestilah bekerja keras dan mewujudkan blog atas sebab yang betul. Ini kerana sekiranya blog diwujudkan semata-mata untuk mencari keuntungan, ia tidak akan berjaya," katanya.