Bengkel Personaliti Cantik Sihat Mingguan Malaysia, 20 Mac 2011

Orang ramai yang berminat dengan Bengkel Personaliti Cantik Sihat Mingguan Malaysia boleh menghubungi Marissa Esthetic di talian 03-87234808, 013-2448484. Setiap peserta dikenakan yuran RM200. Tempat adalah terhad.

Bengkel pertama Personaliti Cantik Sihat bersama Dr. Rushmini dan sisipan Kesihatan, Mingguan Malaysia yang pertama Januari lalu berlangsung dengan jayanya. Berikutan sambutan memberangsangkan dan minat pembaca akhbar ini mahu menimba ilmu dari kolumnis Kesihatan itu, maka bengkel kedua diatur pada 20 Mac.

Menariknya, pertemuan kedua bersama pembaca Mingguan Malaysia akan menyajikan pendekatan praktikal selain teori-teori cantik sihat terutama bagi mengatasi masalah obesiti.

Tajuk yang akan disentuh pada bengkel kali ini masih menekankan tentang punca seseorang mengalami masalah berat badan dan kaedah selamat untuk membantu mengatasinya.

Semestinya tajuk tersebut amat penting lantaran masalah obesiti yang semakin menggerunkan penduduk dunia merupakan ancaman besar kepada kesihatan seseorang.

''Lebih daripada itu apabila obes tentunya sukar untuk tampil cantik selain masalah paras keyakinan diri yang sememangnya selalu rendah.

''Sebab itu saya melihat bengkel Personaliti Cantik Sihat ini mesti diteruskan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang pentingnya membetulkan metabolisme serta fungsi hormon dalam badan,'' kata Dr. Rushmini Maris Ismail.

Beliau turut memuji usaha Mingguan Malaysia mahu menjalin kerjasama dengan Marissa Esthetic menganjurkan bengkel tersebut selain kesediaan syarikat farmaseutikal, Aptomed Sdn. Bhd. menjadi penganjur bersama.

Untuk lebih spesifik, Dr. Rushmini akan memperkatakan topik 'Penuaan, Hormon dan Kekal Langsing'. Pemilihan tajuk tersebut berikutan hubung-kait antara hormon dengan faktor penuaan dan kesukaran untuk kekal langsing. Tentu ada kalangan kita sering merungut, tak makan pun tapi masih gemuk', 'dia makan banyak tapi kekal langsing'. Jawapan kepada persoalan tersebut akan dirungkai semasa bengkel tersebut.

Tidak ketinggalan berkongsi ilmu dengan para peserta kelak ialah Dr. Shaharom Sulaiman yang akan memfokuskan topik 'Hormon Seks, Teknik Kecantikan Moden dan Estetik'. Pemilihan topik tersebut menurut pengamal perbuatan estetik dari Klinik Talia, Kuantan Pahang itu sejajar dengan perkembangan semasa yang menyaksikan bidang estetik semakin menjadi pilihan bagi mengatasi masalah seksual dan kecantikan.

''Kegagalan pasangan suami isteri memahami punca sebenar masalah seksual misalnya boleh membawa keruntuhan rumahtangga.

''Kesemuanya itu berkaitan dengan hormon seks yang mesti difahami serta mencari jalan bagaimana hormon tersebut dapat dirangsang ke arah rumahtangga lebih bahagia,'' katanya.

Peralatan

Bengkel empat jam itu juga akan mengetengahkan Dr. Norman Mohd. Norawi dari Putra Specialist Center, Melaka yang akan memperkatakan tentang "Anti-oksida dan Kanser' bagi melengkapkan modul bengkel kedua - kesihatan, kecantikan dan penyakit kronik.

Para peserta bengkel juga akan diperkenalkan dengan beberapa peralatan ringkas yang digunakan untuk rawatan estetik seperti microdermabrasion, malah mungkin berpeluang mencubanya.

Turut mengambil bahagian PNC Holdings Sdn. Bhd. yang akan mempamerkan mekap mineral dan semula jadi menggunakan jenama KISS. Mungkin ada yang berminat untuk membuat 'make over' dan tampil menawan dengan KISS, jangan malu kerana peserta berpeluang berbuat demikian.

Selepas bengkel kedua, bengkel Personaliti Cantik Sihat akan menemui pembaca di di Kuantan, Pahang dan Johor Bharu. Bengkel akan berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 1 tengah hari pada 20 Mac di Kuala Lumpur.

Mana-mana peserta yang membawa lima keratan masthead (kepala akhbar) Utusan Malaysia dan satu masthead Mingguan Malaysia akan mendapat hadiah istimewa.

Begitu juga peserta yang mendaftar secara berkumpulan (tiga ke atas) akan menikmati hadiah menarik.