Rozita Che Wan duta Safi Rania Gold

Rozita Che Wan dilantik sebagai duta kepada jenama Safi Rania Gold.

“Syukur, Alhamdulillah. Terima kasih kepada pihak UNZA kerana meletakkan kepercayaan kepada saya untuk menjadi duta Safi Rania Gold. Saya rasa bangga dapat mewakili produk kecantikan serta teruja untuk berjumpa wanita di luar sana yang seusia dengan saya untuk berkongsi tentang keistimewaan produk ini.



“Sebelum ini, ada juga tawaran dari produk lain, tapi bila saya guna produk ini ia terbukti bagus, jadi pucuk dicita ulam mendatang,” ujar anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini yang mengakui sudah menggunakan jenama ini sebelum dilantik menjadi duta lagi.

“Saya dah guna produk ini beberapa bulan yang lalu. Mula-mula mak saya yang pakai, namun bila dah tinggal satu rumah, saya pun gunalah juga pencuci muka mak. Bila usia dah nak menginjak ke 40 tahun, mula timbul tanda jeragat, jadi saya kena gunakan Safi Rania Gold terutama krim dan serumnya. Tidak dinafikan ia memang bagus.

“Malah, apa yang membuka mata saya dan membuat saya teruja ialah ia dapat hilangkan jeragat dalam masa sebulan saja. Sebelum ini dah banyak produk kami cuba, jadi bila jeragat hilang dan tak naik lagi, itu yang buat saya percaya produk ini memang berkesan. Buat apa nak buang duit kita sedangkan produk ini memang sesuai dengan kita,” jelas Rozita yang cantik berkebaya bewarna emas.

Menurut Pengurus Produk SAFI, Puan Mahsuri Sulaiman, pemilihan Rozita sebagai teraju utama jenama ini memang tepat sekali memandangkan pelakon ini menjadi inspirasi serta ikon kepada wanita masa kini.

“Cantik merupakan sebab paling utama kita pilih dia. Kami suka personaliti dia yang sopan dan ayu serta menepati ciri-ciri wanita Melayu. Kita juga pilih Rozita kerana dia merupakan aspirasi kepada wanita di luar sana. Kami berkenan, teruja dan kagum dengan Rozita sebab dia masih berjaya mengekalkan kecantikan dalam usianya 30-an walaupun sibuk dengan tugas sebagai pelakon dan ibu kepada dua orang anak.

“Malah, maklum balas yang diterima apabila kita mencadangkan nama Rozita juga cukup bagus. Kita rasa berbangga hati bila dia jadi duta kita. Harap dengan perlantikan Rozita sebagai duta dapat menaikkan lagi pelanggan Safi Rania Gold.”

Mengikat kontrak selama dua tahun, pelakon drama Jelatang ini khabarnya menerima tawaran ratusan ribu ringgit dari pihak UNZA sebagai duta jenama ini. Apabila diajukan soalan tersebut kepadanya, Rozita menjawab, “Alhamdulillah, saya bersyukur dengan tawaran yang diberikan.”