Songket warisan negara

Melayu memang kaya dengan pelbagai seni warisan yang unik dan menarik seperti songket yang merupakan salah satu warisan seni kraf tangan tinggalan zaman yang mempunyai nilai estetika yang tersendiri Kehalusan seni sulaman songket setanding dengan seni lukisan bernilai jutaan ringgit kerana setiap motif dan corak yang ditenun mempunyai maksud dan nilai tersendiri.

Bunga penuh, bunga dalam ragi, bunga tabur, bunga berdiri antara motif dan corak yang disusun pada kain songket.

Dilihat pada corak dan motif songket pasti akan memberi seribu kepuasan kepada penggemarnya. Tetapi cara untuk menghasilkan sehelai kain songket ini bukannya mudah.


Pengarah Urusan Atikah Songket, Noriah Ashari merupakan generasi kelima mempelopori seni warisan tenunan songket daripada ibunya, Atikah Mohd. yang memang terkenal dengan pembuatan songket sejak berzaman.

Berpeluang bertemu dengannya untuk mengetahui perkembangan terkini songket di negara ini Noriah berkata, songket amat mendapat tempat di hati setiap mereka yang mahukan kelainan dalam berpakaian tambahan pula ia merupakan satu tradisi lama yang tidak pernah akan lapuk ditelan zaman.

Diangkat setaraf dengan perkembangan batik dan mendapat liputan meluas dalam apa jua pembuatan bagi produk ini semuanya diambil kira dan yang penting ilmu tenunan songket ini perlu dipelajari oleh generasi sekarang.

"Ilmu tenunan songket ini memerlukan seseorang itu mempelajari setiap selok belok penghasilannya dari awal lagi. Selain itu, teknik tenunan merupakan aspek penting untuk menghasilkan songket," katanya.

Jelasnya, keunikan songket terletak pada motifnya. Motif kain songket terdiri daripada dua unsur penting iaitu unsur alam dan tumbuh-tumbuhan. Motif yang sering digunakan meliputi bentuk bunga, daun pucuk dan bahagian tampuk buah-buahan.

Ujarnya, songket terbahagi kepada dua jenis iaitu songket biasa dan songket eksklusif.

"Tenunan songket biasa menggunakan dua lembar benang emas dan 2 lembar benang kapas. Manakala kelainan pada songket eksklusif berdasarkan mutu kehalusan seni tenunan di samping penggunaan benang emas yang pelbagai warna dan kombinasi corak yang lebih menarik," katanya.

Selain itu, tempoh tenunan songket yang menarik dan eksklusif memerlukan masa hampir sebulan atau tiga bulan bergantung pada corak, berbanding dengan songket biasa, hanya memerlukan antara empat hari sehingga dua minggu untuk disiapkan.

Ciri-ciri khusus yang perlu ada pada tenunan songket terdiri daripada tiga bahagian iaitu merangkumi badan, kepala dan kaki.

Selain dijadikan pakaian, songket juga sudah dikomersialkan kepada pelbagai jenis kegunaannya seperti barangan hiasan rumah, cenderamata dan lain-lain.

Atikah Songket kepunyaan Noriah kini berkembang maju di Kuala Lumpur dengan mempunyai dua buah butik di The Mall dan Taman Tun Dr. Ismail.

Kepada penggemar songket buatan Terengganu, bolehlah berkunjung ke butik Atikah Songket yang terletak di No 93, Jalan Aminuddin Baki, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

Oleh SITI AISHAH YUSOFF