Buffet Ramadan 2011 Hard Rock Hotel (HRH) Batu Feringghi, Pulau Pinang

Hotel berkonsepkan hiburan pertama negara, Hard Rock Hotel (HRH) Batu Feringghi, Pulau Pinang menyediakan juadah enak kepada para pelanggannya untuk berbuka puasa sepanjang Ramadan.

Pelanggan boleh memilih dua lokasi berbeza untuk berbuka puasa iaitu sama ada di Starz Diner, Hard Rock Hotel atau di Hard Rock Cafe.


Berkonsepkan bufet, Starz Diner menyajikan kira-kira 30 menu berkonsepkan hidangan Melayu sesuai dengan cita rasa masyarakat tempatan seperti ulam-ulaman bersama sambal belacan, rojak buah, soto ayam dan pelbagai kuih-muih.

Hidangan utamanya pula seperti ayam percik, sate, kari kepala ikan dan murtabak yang dihidangkan bersama nasi, sambal belacan serta ikan bakar.

Sebagai penghilang dahaga, air sirap bandung cukup istimewa untuk membasah tekak atau anda boleh mencuba teh tarik serta kopi tarik ala Hard Rock Hotel.

Menurut Pengurus Besarnya, John Primmer, menu Melayu sesuai dengan selera masyarakat tempatan semasa bulan Ramadan terutama mereka yang berbuka bersama keluarga, rakan-rakan atau berbuka beramai-ramai.

"Pelanggan yang inginkan cita rasa ala Amerika sepenuhnya, set Ramadan Platter di Hard Rock Cafe pasti memenuhi selera sambil dihiburkan dengan persembahan muzik.

"Setiap hidangan ini mengandungi nasi goreng atau twistet Mac, ayam barbeku, sandwic kambing, sandwic sirlion, mini burger keju Hard Rock, kentang bakar, popia sayuran dan ayam tupelo.

"Set hidangan ini cukup untuk dua orang dewasa yang turut disajikan bersama sup pilihan serta pencuci mulut," ujarnya.

Pada harga RM58 seorang dan separuh harga bagi kanak-kanak di bawah 12 tahun, bufet Starz Diner atau set Ramadan Platter di Hard Rock Cafe memang memberi pengalaman berbuka puasa yang berbeza kepada pelanggan.

Kecuali pada hari Ahad, bufet di Starz Diner digantikan dengan bufet Ramadan di Pizzeria HRH pada harga RM60 seorang.

Ujar Primmer, pihaknya turut menyediakan pakej bankuet Ramadan kepada pelanggan untuk majlis berbuka puasa pada harga RM55 seorang.

"Sepanjang Ramadan ini HRH turut menawarkan pakej kadar bilik istimewa iaitu RM390 semalam yang meliputi pakej sahur dan berbuka untuk dua orang sama ada di Starz Diner atau Hard Rock Cafe," ujarnya. - ZAKI SALLEH