Myvi baru dapat penarafan empat bintang MyVAP Miros

Myvi baru keluaran Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mendapat penarafan empat bintang Program Penilaian Kenderaan Malaysia Malaysia (MyVAP) oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Urusannya, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, penarafan berkenaan akan menambah keyakinan pembeli terhadap ciri-ciri keselamatan model itu.


"Ini merupakan model kedua Perodua selepas Alza menerima penarafan empat bintang MyVAP,” katanya.

Aminar Rashid berkata, penarafan itu membuktikan Myvi mencapai standard keselamatan yang tinggi yang juga mematuhi protokol tertentu Program Penilaian Kereta Baru Euro (ENCAP).

Beliau berkata, penilaian MyVAP menumpu kepada tiga teras iaitu keselamatan aktif, keselamatan pasif dan 11 item di bawah Peraturan Suruhanjaya Ekonomi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Eropah (UNECE).

"Bagi 11 item di bawah Peraturan UNECE termasuk keserasian elektromagnetik, brek, dalaman, jangkaan luaran, peranti amaran pendengaran, halangan risiko kebakaran, speedometer, cermin pandangan belakang, kuasa stering, indikator dan visi hadapan,” katanya. – Bernama