Syarikat Sony Corp. menurunkan harga konsol permainan video PlayStation 3 keluarannya sebanyak AS$50 (RM148.80) dalam usaha untuk meningkatkan permintaan terhadap mesin permainan itu.
Konsol permainan tersebut kini dijual pada harga AS$249 (RM741), turun 17 peratus berbanding AS$299 (RM890).
Kali terakhir Sony merendahkan harga PlayStation 3 ialah pada 2009 apabila ia melancarkan konsol permainan video itu yang lebih ringan dan nipis.
Pengumuman penurunan harga di seluruh dunia itu dibuat kelmarin kurang sebulan selepas pesaing Sony, Nintendo Co. memotong harga konsol permainan video tangan, Nintendo 3DS.
Pemotongan harga itu diharapkan dapat meningkatkan jualan PlayStation 3 seperti yang berlaku pada 2009.
"Bukan lagi satu rahsia bahawa PlayStation 3 sukar menyaingi konsol permainan video Xbox 360 di rantau Amerika Utara walaupun jualannya lebih baik di Eropah," kata seorang penganalisis, Jesse Divnich. - Agensi