Produk pelangsingan badan dorong bunuh diri

Penggunaan produk pelangsingan badan yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dikhuatiri boleh mendorong seseorang membunuh diri berikutan bahan kimia digunakan di dalam kandungan itu mempunyai 18 kesan sampingan negatif.

Selain itu, penggunaan produk tidak berlesen dan diharamkan itu boleh membawa kepada masalah mati pucuk kepada lelaki, selain kesan sampingan seperti kemurungan, cepat marah, pening, gementar, degupan jantung kencang, ketagihan dan keletihan.

Malah, pengambilan produk berkenaan disahkan boleh menyebabkan kerosakan dua organ utama manusia iaitu hati dan jantung jika diambil tanpa kawalan dan nasihat pakar kesihatan.

Lebih membimbangkan ialah ubat berkenaan boleh didapati dengan mudah dan dijual di pasaran terbuka, selain ada pihak menggunakan kaedah jualan langsung bagi menarik lebih ramai pelanggan.

Antara produk dikenal pasti membahayakan kesihatan pengguna termasuklah Supreme Diet, NP Trim 2, OBexlim dan Phytotrim berikutan kandungan bahan kimia tidak mengikut peraturan dibenarkan KKM.

Jurucakap Bahagian Penguat kuasa Farmasi negeri berkata, produk pelangsingan badan sebenarnya mengandungi Sibutramin, iaitu bahan kimia digunakan bagi membantu mereka mengalami masalah obesiti menurunkan berat badan.

Kebanyakan produk berkenaan katanya, berfungsi dengan menghalang otak manusia merasa lapar sekali gus merencat selera makan dan ini mengakibatkan seseorang itu kurang makan hingga berat badan susut.

Bagaimanapun, katanya bahan itu dicampur dalam produk pelangsingan badan dan dijual dalam bentuk jus minuman bagi mereka yang ingin mendapatkan badan langsing tanpa menyedari kesan buruk bakal dihadapi mereka.

"Jika diambil berlebihan, seseorang itu berdepan masalah mati pucuk, murung, cepat marah, pening, gementar, degupan jantung kencang, ketagihan, keletihan selain terdorong untuk membunuh diri.

"Kebanyakan produk yang dijual dihasilkan di dalam negara oleh pengeluar tempatan dan hasil pemantauan mendapati, ada antara mereka masih berdegil dan menjual produk itu walaupun pernah dikenakan tindakan.

"Mereka tetap berdegil dan mengedarkan produk menggunakan jenama sama sedangkan ia menyalahi undang-undang kerana produk berkenaan diharamkan kerajaan," katanya.

Berikutan itu, katanya orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati dalam memilih produk pelangsingan dan jangan mudah terpengaruh dengan iklan dan himpunan produk di pasaran tanpa mengetahui kandungannya.

Katanya, bagi memastikan kesahihan produk yang ingin dibeli, orang ramai boleh merujuk pelekat keselamatan pada kotak atau menghubungi mana-mana pejabat Bahagian Perkhidmatan Farmasi.

Selain itu, katanya, semua pengeluar sepatutnya lebih bertanggungjawab dan jangan terlalu mementingkan keuntungan dengan mendaftar produk keluaran mereka sebagai produk farmaseutikal serta mendapat kebenaran KKM sebelum diedarkan.