Francais Genius Aulad

Orang ramai yang ingin mendapat maklumat lanjut mengenai Genius Aulad boleh mengunjungi laman web www.geniusaulad.com.my atau hubungi talian 03- 80233150.

Kesusahan mencari pendidikan prasekolah untuk anak mendapat pengajaran awal Islam serta menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar mendorong seorang ibu membuka pusat perkembangan kanak-kanak, Genius Aulad, kira-kira sedekad lalu.

Pengarah Eksekutif Genius Aulad Learning Consultancy Sdn Bhd, Zaliza Alias, 38, berkata beliau juga mendapati tadika Islam yang ada ketika itu tidak ceria dan mempunyai kemudahan setanding dengan tadika lain.

Beliau berkata, menyedari kesukaran dan kekurangan berkenaan, dia berasa terpanggil untuk mewujudkan prasekolah yang mampu memberikan pendidikan Islam bagi kanak-kanak sejak di peringkat awal dengan menggunakan bahasa Inggeris.

Katanya, dengan modal hanya RM20,000, beliau dan suami, Mohamead Hafidz Mohd Salleh, 38, memulakan perniagaan dengan 20 pelajar di USJ Subang Jaya pada Disember 2000 sebelum terus berkembang ke hari ini dengan mempunyai 14 cawangan dan kira-kira 2,500 pelajar.

"Genius Aulad kini adalah pusat perkembangan kanak-kanak pertama di Malaysia yang menggunakan kemudahan teknologi terkini seperti papan elektronik di setiap cawangan serta menggunakan lantai berlapik untuk mengelak kanak-kanak cedera apabila terjatuh," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Zaliza yang juga bekas pensyarah bahasa Inggeris di sebuah kolej swasta berkata, nama Genius Aulad yang menggabungkan bahasa Inggeris dan Arab itu untuk menunjukkan Islam adalah agama sejagat serta terbuka dengan Genius bermaksud pintar manakala Aulad adalah kanak-kanak.

Walau begitu, katanya, ia tidak bermakna hanya kanak-kanak tertentu layak memasuki pusat perkembangan berkenaan kerana semua kanak-kanak dianggap mempunyai kepintaran dalam bidang tertentu.

"Pembelajaran di pusat perkembangan ini menekankan semua sudut kepintaran dengan suasana berasaskan Islam, menggunakan kurikulum berbahasa Inggeris dan prinsip berorientasi sains," katanya.

Beliau berkata, selain menjalankan perniagaan pusat perkembangan kanak- kanak, pihaknya turut menceburi perniagaan dalam bidang audio video serta penerbitan buku.

"Kami sudah menerbitkan sebuah album yang dinyanyikan bekas pelajar Genius Aulad dengan kerjasama kumpulan nasyid Raihan yang dilancarkan di Perth, Australia pada tahun lalu.

"Setakat ini, album berkenaan berjaya dijual sebanyak 3,000 unit di Australia. Kami juga dalam proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan rangkaian buku Starter Words dengan kerjasama syarikat Megabase Consultancy dari United Kingdom," katanya.

Zaliza berkata, syarikatnya yang memperoleh lesen francaisor daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pada Ogos tahun lalu kini menyasar mempunyai enam cawangan francais baru sehingga akhir tahun ini.

Beliau berkata, dengan modal permulaan antara sebanyak RM250,000 dan RM300,000, francaisi bukan saja mempunyai modal kerja sebanyak tiga bulan termasuk yuran francais sebanyak RM30,000 dengan kontrak selama lima tahun.

"Selain itu, francaisi perlu membayar royalti sebanyak RM30 untuk seorang pelajar.

"Perniagaan ini bukan untuk mengaut keuntungan sematamata tetapi perlu mempunyai niat untuk memberi pendidikan agama kepada kanak-kanak Islam dengan ia memberi keuntungan bukan saja di dunia tetapi juga akhirat," katanya.