Kuali GreenPan

GreenPanMasakan hangus boleh menghilangkan selera makan. Malah, khasiat dan keenakan sebenar pada makanan turut hilang apabila masakan yang digoreng atau dimasak hangus dek kuali yang tidak berkualiti.

Suri rumah mahupun mereka yang rajin memasak memerlukan peralatan serba mudah dan cepat bagi hidangan sekeluarga. Kuali mudah melekat tambahan pula sukar dicuci menyebabkan ramai wanita hilang mood untuk memasak.

Justeru, bagi membantu dan memudahkan kerja di dapur, stesen televisyen masakan Asia, The Asian Food Channel (AFC) memperkenalkan kuali berkualiti tinggi dengan jenama GreenPan. Kuali dengan kuasa teknologi tidak melekat itu diperbuat daripada seramik semula jadi dengan lapisan Thermolon.

Pengurus Akaun GreenPan Eropah, Zouhair Yahia, berkata seperti kuali lain yang terdapat di pasaran, GreenPan tidak menggunakan asid perflueoroctoanoic (PFOA) dan bahan sintetik polytetrafluroethylene (PTFE) yang dikesan mencemarkan udara persekitaran serta menghilangkan kualiti makanan sekali gus memberi kesan terhadap kesihatan pengguna.

Katanya, sebanyak 13 jenis GreenPan pelbagai saiz dikeluarkan bagi memudah dan melancarkan proses memasak. Selain kelebihan kuali dengan menggunakan bahan seramik, tempat pemegangnya pula diperbuat dari besi keluli tahan karat.
YAHIA menyaksikan demonstrasi memasak selepas majlis pelancaran GreenPan di Bangsar Village, baru-baru ini.

“Green Pan membangunkan produk yang selamat, mudah digunakan dengan teknologi inovatif Thermolon yang tidak mudah melekat. Teknologi berkenaan bagaikan satu transformasi dalam dunia masakan dan ternyata membantu mengekalkan rasa keenakan masakan.

“Permukaan atas kuali berkenaan adalah satu revolusi tanpa menggunakan PTFE. Di samping itu, tahap kepanasannya boleh mencecah sehingga 450’ Celcius tanpa meninggalkan bahan kimia pada makanan yang terlebih masak,” katanya ketika majlis pelancaran produk alatan dapur, GreenPan di Bangsar Village, baru-baru ini. Turut hadir, Pengarah Urusan, syarikat penjualan produk rumah, Katrin BJ Sdn Bhd, Jean Yeap.

Kuali GreenPan adalah teknologi hebat dari Amerika Syarikat dan sudah diperkenalkan di pasaran sejak tahun lalu. Jenama berkenaan melebarkan sayap pasaran ke Malaysia bertujuan bagi memudahkan kerja di dapur di kalangan suri rumah, ibu, isteri tukang masak dan semua yang gemar memasak.

Kini, kuali tidak melekit, GreenPan boleh didapati di pusat beli-belah seluruh negara yang terpilih antaranya Bangsar Village, Solaris Mont Kiara, Sogo, Pavillion, One Utama dan Mid Valley. Didatangi dengan saiz berbeza, harganya antara RM99 hingga RM700.