Food To You - Khidmat Penghantaran Makanan Ke Pejabat / Rumah

seri melayuKesibukan kerja di pejabat, mungkin menyebabkan anda tidak mempunyai masa untuk keluar makan.

Jika anda tergolong dalam kumpulan ini, jangan bimbang kerana Restoran Seri Melayu yang beroperasi di Jalan Conlay, Kuala Lumpur menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan Food To You.

Perkhidmatan itu dilaksanakan di seluruh kawasan Lembah Klang dengan pelbagai sajian Melayu tradisi yang pasti menyelerakan.

Menurut Chef Syed Nasser Syed Hussain, keistimewaan perkhidmatan Food To You ialah pelanggan boleh menikmati aneka jenis masakan Melayu melalui cara penghantaran terus sama ada ke rumah mahupun pejabat.

"Justeru, bagi mereka yang bekerja atau sesiapa sahaja yang teringin untuk mendapatkan sajian istimewa seperti nasi bukhari, nasi beriani, nasi tomato, nasi pandan dan nasi lemak mereka boleh terus menghubungi kami.

"Selain menu itu, kami juga turut menyediakan makanan ringan seperti popia goreng, roti jala, kepak ayam goreng, laksa utara, mi rebus, serta hidangan pencuci mulut iaitu kuih lopis, kanji som, sagu gula Melaka, bubur kacang hijau, bubur pulut hitam dan juga pengat durian," jelas Syed Nasser ketika ditemui Kosmo! di Restoran Seri Melayu baru-baru ini.

Dalam pada itu, Syed Nasser memberitahu dari aspek kualiti makanan, pihaknya memberi jaminan bahawa keaslian masakan tersebut tetap terpelihara.

"Ini kerana setiap makanan yang dipesan akan sampai dalam tempoh 30 minit untuk kawasan sekitar lima kilometer dari restoran sementara bagi kawasan di Lembah Klang, ia mengambil masa sekurang-kurangnya 45 minit," ujarnya.

Perkhidmatan penghantaran Food To You ini mula beroperasi pada pukul 9 pagi hingga 8.30 malam untuk hari Isnin hingga Sabtu, manakala pada hari Ahad dan cuti umum, ia akan bermula pada pukul 5.30 petang hingga 9 malam sahaja.

Caj penghantaran pula hanya RM5 berbanding RM10 sebelum ini dan tidak terhad kepada berapa banyak pesanan. Malah, jika pelanggan memesan lebih 20 kotak sekali pun, caj penghantaran yang dikenakan tetap sama.

"Pengurangan caj penghantaran kepada RM5 merupakan salah satu cara kami melakukan promosi untuk perkhidmatan Food To You. Oleh itu, kami berharap orang ramai tidak teragak-agak untuk menggunakan perkhidmatan ini bagi keselesaan mereka menikmati hidangan Melayu.

"Harga untuk makanan pula adalah berpatutan. Contohnya untuk menu nasi bukhari, nasi tomato dan nasi pandan, hanya RM12.50 manakala untuk hidangan pencuci mulut adalah RM6.50," kata Pengurus Operasi Restoran Seri Melayu, Mohd. Haniff Sujudi.

Untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan penghantaran Food To You ini, sila layari laman web www.serimelayu.com atau hubungi talian 03-2145 1833, 03-2145 1811 atau 03-2166 8818.