Spesifikasi Toyota Corolla Altis 2.0V

Pasaran Malaysia menyaksikan kemunculan Toyota Corolla Altis yang dinaik taraf secara keseluruhan. Walaupun tidak mendapat kit badan penuh seperti yang dipasarkan di Thailand, penampilannya tetap segar apabila menggunakan lampu `smoked' di hadapan dan rekaan baru di belakang.

Masuk ke dalam Altis ini, penulis serta merta dapat merasakan suasana mewah. Ini kerana bahan gabungan plastik lembut dan trim kayu yang digunakan pada papan pemuka serba ringkas ini nampak kemas apabila dipadankan dengan tempat duduk dan panel pintu kulit berwarna putih. Namun pengguna harus sentiasa berhati-hati bagi mengelakkannya daripada terkena kotoran.

Ramai yang berkata bahawa model ini hanya sesuai untuk golongan yang berumur, tetapi penulis masih lagi boleh berseronok sepanjang memandu kenderaan ini selama beberapa hari.

Kereta ini tidak mempunyai sebarang masalah dari segi kuasa yang dikeluarkan oleh enjin 3ZR-FE Dual VVT-i baru. Apabila digabungkan dengan kotak gear CVT tujuh kelajuan, ia terasa agak ringan dan setiap penukaran gear tidak terasa. Jika inginkan sedikit keseronokan, tombol gear boleh dialih ke bahagian M untuk penukaran manual.



Stereng kuasa elektronik yang digunakan pada Altis ini memberikan kawalan yang agak ringan. Jadi, respon terhadap cengkaman di atas jalan kurang dirasa. Namun pemandu tidak perlu risau kerana kenderaan ini dilengkapi dengan ciri Vehicle Stability Control (VSC) yang dapat membantu sekiranya kenderaan mengalami `understeer' atau `oversteer'.

Sewaktu dalam perjalanan ke Melaka melalui lebuh raya, ciri `autocruise' sememangnya membantu. Tambahan pula, konsol tengahnya boleh ditarik ke hadapan bagi memberikan kedudukan yang lebih selesa untuk pemandu.

Sekiranya pemandu inginkan penjimatan, lampu `Eco' pada paparan meter boleh dijadikan sebagai panduan.

SPESIFIKASI

Toyota Corolla Altis 2.0V

Enjin : 1,987cc, Dual VVT-i

Kuasa Maksimum : 144hp @ 6,200rpm

Tork Maksimum : 187Nm @ 3,600rpm

Transmisi : Super CVT-i tujuh kelajuan, kawalan manual di stereng

Ciri-ciri keselamatan : Beg udara, ABS, EBD, BA, VSC

Harga : RM131,990 (termasuk insuran)

Komen BH Auto : Sedan selesa untuk pemanduan harian

Tayar yang dicadangkan

ContiSport - Contact 2

Saiz standard - 205/55R 16 91V

Oleh Durrani Sharom