Otak-Otak Boleh DiKomersialkan

Tahukah anda apa itu otak-otak? Pernahkah anda merasainya? Bagi mereka yang tidak pernah mendengarnya mungkin akan berasa pelik dan menyangka bahawa otak-otak itu adalah otak manusia.

Mungkin tidak pernah terlintas di fikiran kita bahawa otak-otak merupakan sejenis makanan tradisional yang begitu terkenal di beberapa buah negeri seperti di Terengganu, Pahang dan Johor. Selain Malaysia, makanan ini juga turut terkenal di beberapa buah negara seperti di Singapura dan Indonesia tetapi yang bezanya di negara mereka ia di kenali sebagai otah-otah.



Otak-otak adalah sejenis makanan tradisional yang asalnya dari perkampungan nelayan dan kebiasaannya ia dimakan sebagai makanan ringan pada waktu petang. Pada lazimnya, ia dibungkus dengan daun kelapa atau daun nipah tetapi pada zaman moden ini, ia dibungkus dengan menggunakan kulit popia dan dikenali sebagai 'spring roll'.

Kebiasaannya otak-otak diperbuat daripada isi ikan laut terutamanya isi ikan tenggiri. Bagi ikan air tawar pula, ikan yang sesuai digunakan untuk membuat otak-otak ialah ikan talapia merah, patin dan keli. “Biasanya otak-otak ini dibuat daripada isi ikan tenggiri, tetapi zaman sekarang ini terdapat juga otak-otak yang diperbuat daripada udang, sotong dan ayam malah rasanya juga sangat berbeza,” menurut Hasmah Jamil, 47, yang merupakan seorang peniaga di Pantai Cahaya Bulan.

Tambah beliau lagi yang berpengalaman selama 10 tahun dalam perniagaan otak-otak, ia mampu memberi pendapatan yang agak lumayan kerana permintaan terhadapnya sentiasa ada malahan pelancong dari luar juga turut menggemarinya. “Dalam sebulan makcik mampu memperolehi pendapatan antara RM700 hingga RM900 dari hasil penjualan kerana ia sudah terkenal dan ramai yang menggemarinya. Ini sedikit sebanyak dapat menampung kehidupan mak cik sekeluarga,” katanya lagi.

Apa yang membezakan otak-otak dengan makanan lain ialah rasanya yang enak dan tidak jemu apabila dimakan selalu dan menyebabkan proses pembuatan otak-otak ini dipelbagaikan dari segi rasa. Makanan ini hanya terdapat di beberapa buah negeri sahaja dan menyebabkan penggemar makanan ini terpaksa ke negeri-negeri tertentu untuk mendapatkannya.

Menurut salah seorang penggemar otak-otak, Siti Ainun Mohammad, 23, otak-otak ini susah untuk di dapati dan hanya berpeluang untuk merasainya apabila pulang ke kampung sahaja. “Otak-otak ini memang sedap, sayangnya saya susah untuk mendapatkannya walaupun ia telah dikomersialkan tetapi pasarannya tidak begitu meluas di negeri-negeri lain dan rugilah sekiranya makanan tradisi seperti ini tidak diberi peluang untuk meluaskan pasarannya. “Saya juga merasakan bahawa sekiranya ia dikomersialkan sehingga ke luar negara, tidak mustahil ia akan menjadi terkenal suatu hari nanti,” menurutnya.

Pelbagai cara yang digunakan untuk membungkus otak-otak ini, yang menyebabkan rasa makanan ini adalah berbeza daripada makanan tradisional lain seperti bungkusannya yang menggunakan daun kelapa dan daun nipah. Otak-otak yang dibungkus dengan daun kelapa atau daun nipah ini perlu dibakar di atas dapur arang atau dapur biasa manakala bagi yang dibungkus dengan menggunakan kulit popia, ia hanyalah perlu digoreng sahaja.

Otak-otak yang telah dipanggang boleh disimpan dengan lebih lama jika dibungkus dengan mangkuk plastik kalis udara dan disimpan di dalam peti sejukbeku pada suhu -18 ° C hingga -30 ° C dan ianya boleh tahan sehingga sebulan. Dengan adanya cara sebegini, tidak mustahil ia dapat dikomersialkan ke luar negara suatu hari nanti dan sekaligus boleh membantu meningkatkan ekonomi masyarakat setempat dan juga ekonomi negara.

Oleh: Nor Arita Wardati Omar, Wan Rahimah Wan Yahya, Norhamizah Rahim.