Majlis perkahwinan dianggap hari penuh bersejarah bagi setiap pasangan yang bakal memulakan kehidupan baru. Tidak hairan ramai sanggup berbelanja besar untuk mengadakan majlis istimewa supaya dapat dijadikan kenangan seumur hidup.
Bermula dengan majlis akad nikah, persalinan hingga ke majlis bersanding, semuanya dipastikan terbaik dan terindah bagi mencapai impian perkahwinan.
Paling merumitkan pastinya persalinan pengantin. Warna, rekaan, jenis kain semuanya diambil kira bagi memastikan pengantin tampil anggun pada majlis bersejarah itu.
Bagi pemilik butik Pengantin Iris, Ziela Ibrahim, pengalaman 10 tahun menjadi pengendali majlis perkahwinan membuatkan dia sering menjadi pilihan pelanggan, terutama yang tertarik dengan rekaan pakaian pengantin butiknya.
"Kebanyakan rekaan baju pengantin butik kami adalah terkini dan eksklusif sama ada untuk pengantin Muslimah atau bukan. Setiap rekaan penuh dengan cita rasa mewah menggunakan fabrik seperti sutera Thailand, songket dan french lace.
"Rekaan seperti kebaya moden dan gaun labuh Muslimah sentiasa mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan disebabkan harga berpatutan serta kualiti ditawarkan.
"Kami turut menggabungkan dua elemen moden kontemporari dan tradisional sebagai kelainan selain menawarkan songket bunga tabur dan sulaman pada fabrik," katanya.
Keserian busana pengantin ialah pada juraian manik yang menyerlahkan ketrampilan pengantin ketika di singgahsana raja sehari. Kerdipan manik pula menyaksikan pengantin anggun.
Untuk maklumat lanjut, layari www.pengantiniris.com atau telefon 03-55429097.