Perbankan Internet AmGenie Mobile

Pelanggan AmBank yang menggunakan telefon berasaskan iPhone atau Android kini boleh mendapatkan aplikasi perbankan AmGenie Mobile, satu produk terbaru yang diperkenalkan AmBank dalam usaha menyenangkan lagi urusan perbankan mudah alih.

Pengarah Urusan, Perbankan Peruncitan AmBank, Datuk Mohamed Azmi Mahmood berkata, AmGenie akan membolehkan pelanggannya menggunakan rangkaian penuh perkhidmatan perbankan Internet dalam satu sistem yang diringkaskan untuk kegunaan skrin kecil.

Ciri terbaru aplikasi AmGenie ialah pencari lokasi mesin teler automatik (ATM) yang menggunakan sistem penentu kedudukan global (GPS) di dalam telefon untuk menunjukkan ATM Ambank di antara 807 ATM atau mana-mana satu daripada 190 cawangan bank itu di seluruh Malaysia.



"Perkhidmatan ini tidak terhad kepada pelanggan AmBank tetapi ia boleh digunakan oleh pelanggan kad ATM lain yang memiliki rangkaian MEPS," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.