Jubah Hajaba

Penampilan corak abstrak dan potongan moden mengangkat koleksi ini ke pasaran fesyen global.Padanan tudung moden mengimbangi penampilan khususnya wanita yang sering mengikut peredaran fesyen.

Justeru itu, wanita bertudung tidak perlu risau kerana tetap kelihatan anggun dengan menutup aurat.Jika dahulu, menggayakan imej Muslimah bukan menjadi pilihan utama kerana fesyen ini dianggap tidak menepati gaya moden.Kehadiran beberapa pereka dan jenama yang mengetengahkan jubah sebagai fesyen utama berjaya mengangkat martabat rekaan jubah.


Hajaba misalnya, cuba membawa penggemar fesyen menyelami keindahan busana ini.

Jubah bukan fesyen ketinggalan zaman tetapi ia sesuai untuk gaya eksekutif atau majlis formal.Penggunaan warna yang agak berani seperti merah dan cerah seperti biru, ungu dan hijau mencetuskan idea baru kepada pereka jubah.

Gabungan corak polos dan abstrak menjadikan jubah lebih segar.Baju ala kurti yang digayakan bersama seluar panjang, blaus labuh berseluar, maksi panjang atau jubah berpotongan, cantik digayakan ke pejabat bersama tudung dengan warna senada.

Pemakaian tudung gaya Syiria dan turban mengubah penampilan menjadi seorang wanita yang lebih berkeyakinan.Pengasas koleksi Hajaba, Mona Din percaya, jubah kian mendapat sambutan dan mampu berada sama rata dengan jenama lain di pasaran.

"Saya mengambil contoh butik Hajaba di pusat membeli-belah Pavilion, Bukit Bintang yang memberi sumbangan jualan tertinggi setiap bulan. Berbanding dengan cawangan Hajaba yang lain, butik ini terpaksa bersaing dengan jenama antarabangsa yang lain. Namun, saya cuba menampilkan kelainan corak dan potongan lengan supaya ia tidak dikatakan fesyen kampungan atau tidak moden," ujarnya.