LAWATAN ke Kota Kinabalu, Sabah, dianggap tidak lengkap sekiranya tidak singgah ke Pasar Kraftangan atau lebih dikenali sebagai Pasar Filipina oleh penduduk tempatan serta pelancong.
Pasar itu, yang menjadi tumpuan para pelancong, terletak di Jalan Fuad Stephen dan bertentangan dengan Kompleks Sinsuran diibaratkan sebagai syurga bagi kaum hawa terutama yang meminati barang kemas dan aksesori berasaskan mutiara dan kristal. Kenapa sebegitu?
Ini kerana pasar berkenaan menempatkan mutiara bermutu tinggi pada harga yang berpatutan.
Pasar ini juga menempatkan beraneka produk kraftangan yang dihasilkan penduduk tempatan serta yang diimport dari Indonesia dan Filipina seperti tikar, beg tangan, sarung pen, alas meja, batik dan ukiran khat.
Penulis baru-baru ini yang berkesempatan mengunjungi buat kali pertama ke Kota Kinabalu kerana menemani seorang rakan yang bakal bekerja di Universiti Malaysia Sabah (UMS) turut tidak ketinggalan singgah di pasar tersebut dengan tujuan untuk mencari ole-ole buat rakan-rakan dan saudara mara di Semenanjung.
Kenapa Pasar Filipina?
"Dik mari singgah sini, cari apa bah? gelang tangan, cincin, kerongsang mutiara, kristal murah-murah di sini bah...," sapa para penjual di pasar tersebut dengan nada suara yang cukup lembut dan loghat Sabah yang pekat sebaik penulis dan rakan menjejakkan kaki ke pasar tersebut dan sapaan tersebut penulis balas dengan senyuman.
Sebelum menjejakkan kaki ke pasar ini, penulis terlebih dahulu bertanyakan kepada seorang penduduk tempatan, seorang pemandu yang dikenali sebagai Fadli, mengapakah pasar ini diberi nama Pasar Filipina, adakah sebab penjualnya ramai berketurunan Filipina?
"Sebenarnya kalau diikutkan sejarah pasar ini, ia memang dikenali sebagai Pasar Kraftangan ketika mula-mula dibuka pada tahun 70-an dan ketika itu pasar ini terletak di kawasan Kampung Air, Kota Kinabalu. Kemudian pada 1978 pasar ini dipindahkan belakang bangunan Bank Negara, berhampiran Kompleks Sinsuran dan Plaza KK," jelasnya ramah.
Pasar ini kemudian dipindahkan sekali lagi pada 80-an ke bangunan UNHCR di mana ia turut menjadi penempatan sementara pelarian Filipina akibat perang di selatan Filipina pada tahun 70-an. "Selepas itu, pasar ini tidak dipindahkan lagi dan kekal di situ sehingga kini. Pada awalnya kebanyakan produk yang dijual adalah hasil kraftangan dari Filipina.
"Kemudian ia berkembang, kraftangan tempatan dan produk negara lain mula dijual oleh peniaga di sini," katanya sambil menambah pasar itu turut dikenali sebagai Pasar UNHCR di kalangan penduduk tempatan.
Godaan mutiara Sabah
"Omo, yeppuda! (Oh, cantiknya!)... kata seorang pelancong Korea yang teruja melihat beraneka gelang tangan, cincin dan keronsang daripada mutiara dan kristal di kedai Hayati Abd Arop, seorang daripada peniaga di premis berkenaan.
Menurut Hayati, 28, sepanjang tujuh tahun berniaga barangan perhiasan kaum wanita dan pelbagai barangan kraf di situ, beliau mendapati yang paling menarik hati dan digilai pengunjung ke kedainya ialah aksesori yang diperbuat daripada mutiara.
Katanya, 90 peratus pelanggannya adalah kaum wanita dari Semenanjung manakala 10 peratus lagi di kalangan pelancong asing seperti Korea, Jerman, Perancis dan jiran terdekat, Brunei Darussalam manakala hanya segelintir sahaja pengunjung lelaki disebabkan aksesori untuk kaum adam sangat terhad.
"Mutiara Sabah sangat digilai pengunjung wanita kerana menyedari mutiara yang dijual di sini adalah asli, berkualiti serta diikat dengan reka bentuk moden yang mengikut arus kontemporari hingga memikat mata yang memandang," katanya yang menjalankan urusniaga bermula pukul 8.30 pagi hingga 7 petang sepanjang tahun kecuali Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.
Seperti peniaga lain di pasar itu, terdapat dua jenis mutiara, iaitu mutiara air tawar dan air masin (laut dalam) yang dijadikan bahan utama dalam penghasilan aksesori seperti gelang tangan, cincin, kalung, loket dan kerongsang.
Barangan tersebut juga ada yang akan dicampur dengan batu permata atau batu kristal Swarovski mengikut kreativiti penjual atau pun permintaan daripada pelanggan.
Ditanya perbezaan kedua-duanya, Hayati berkata mutiara air tawar mempunyai pelbagai reka bentuk seperti bentuk jagung, ubi kentang dan beras dan harganya lebih murah berbanding mutiara laut dalam kerana tiram yang menghasilkan mutiara itu diternak secara komersial.
Begitu pun katanya, mutiara tersebut dijamin asli, berkualiti dan hampir semua diperoleh daripada masyarakat setempat atau pun diimport dari Indonesia dan Filipina.
"Berbanding mutiara laut dalam, ia hanya mempunyai satu bentuk sahaja iaitu bulat dengan tiga warna iaitu peach, hitam dan putih, malah harganya juga agak mahal berbanding mutiara air tawar iaitu kira-kira RM95 sebutir yang kita import dari Jepun dan kaedah untuk menghasilkan mutiara itu juga berbeza," katanya.
BERSAING SECARA SIHAT
Mengenai persaingan, katanya, meskipun terdapat ramai peniaga yang menjual produk yang serupa beliau percaya rezeki masing-masing ditentukan Allah serta diikuti dengan usaha yang gigih.
"Tidak dinafikan persaingan itu memang wujud disebabkan hampir 80 peratus kami menjual barangan serupa tetapi sebagai penjual kami juga perlu bijak dalam menarik hati pelanggan, katanya.
Beliau yang memiliki kemahiran "mengikat" mutiara untuk dijadikan aksesori seperti gelang tangan, rantai dan cincin berkata jika datang ke kedainya, pelanggan boleh meminta beliau sendiri menghasilkan mengikut kehendak masing-masing dengan harga yang sangat berpatutan.
Tidak mahu meletakkan harga yang tinggi dan mengambil untung lebih daripada pembeli, beliau berkata aksesori yang dijual di kedainya boleh dimiliki dengan harga serendah RM4 seutas atau tiga barang untuk RM10 dan yang paling mahal hanya sekitar RM500.
"Murahnya, kalau di Semenanjung terutama di Kuala Lumpur paling murah pun saya hanya boleh dapat RM10 untuk seutas gelang, itu pun yang telah dicampur dengan batu kristal tiruan," kata rakan dengan nada terkejut apabila Hayati menerangkan harga yang ditawarkannya.
PIKAT HATI PELANGGAN
Walaupun Hayati gembira dengan pujian tersebut, tapi katanya ada juga pelanggan yang mahukan diskaun yang mustahil serta melampau sehingga sukar untuk dipenuhi permintaan itu.
"Walaupun pemberian diskaun mampu memikat pelanggan, sebagai peniaga, beliau memerlukan modal untuk membeli barangan tersebut dan pulangan daripada jualan mungkin terjejas jika ramai pelanggan yang bersikap sedemikian," katanya mengakhiri perbualan kami.
Sementara itu, seorang lagi peniaga yang dikenali sebagai Mashitah ketika ditemui penulis berkata bagi menarik pelanggan, selain menawarkan harga yang murah, rekabentuk barangan yang lebih eksklusif dan jarang ditemui di kedai lain turut mampu menarik perhatian pelanggan.
Beliau yang menjual kerongsang mutiara jenama Intan Sofea, berkata ramai pengunjung yang datang ke situ amat menggemari "signature brooch" koleksi Intan Sofea walaupun harganya agak mahal kira-kira RM45 bagi sebiji kerongsang.
"Ya, harganya agak mahal berbanding di kedai lain, tetapi jika dilihat dari segi kualiti bahan yang diguna, ia amat berbaloi untuk dimiliki kerana lebih halus, kukuh, tahan karat dan dijamin 100 peratus mutiara air tawar asli," katanya.
Dayang Aminah Awang Mohamed, 40, dari Brunei Darussalam berkata, beliau adalah antara peminat setia kerongsang Intan Sofea sejak tiga tahun lepas, dan datang ke kedai tersebut dari Bandar Seri Begawan semata-mata untuk mendapatkan stok terbaru.
"Memang agak memenatkan, tetapi bak kata orang, alah membeli, menang memakai," katanya yang ditemani sepupu dan anak seorang anak saudaranya. — BERNAMA