Menunggang kuda adalah pengalaman yang amat menyeronokkan bagi mereka yang sukakan cabaran, namun tidak ramai yang berpeluang menunggang kuda memandangkan kemudahannya yang terhad dan memerlukan kos yang mahal.
Bagaimanapun, bagi mereka yang berminat untuk merasai pengalaman menunggang kuda, anda boleh berkunjung ke sebuah pusat ekuin yang baru dibuka di Kampung Rawa Hilir, Lenggeng dekat sini.
Sukan berkuda kelolaan AS Equestrian yang dimiliki AS Resources Services Sdn Bhd menjadi satu produk baru dalam industri pelancongan di Negeri Sembilan.
AS Equestrian yang mendapat pengiktirafan Majlis Ekuin Malaysia menyediakan kemudahan kelas menunggang kuda, khidmat penjagaan kuda dan pelbagai aktiviti berkaitan kuda, kata Pengarah Urusan AS Resources Services Sdn Bhd, Saadiah Othman kepada Bernama baru-baru ini.
"Ia dikendalikan oleh jurulatih bertauliah dan berpengalaman dalam pengendalian kuda dan latihan untuk menunggang kuda sambil menikmati kehijauan dan kesegaran suasana desa," katanya.
AKTIVITI SEKELUARGA
AS Equestrian telah dibuka sejak enam bulan lepas dengan pelaburan sebanyak RM50,000.
Setakat ini terdapat 10 ekor kuda di AS Equestrian dan pihak kami bercadang untuk membawa masuk beberapa ekor lagi dalam masa yang terdekat ini", kata Saadiah.
Selain aktiviti menunggang kuda di arena dan trek, terdapat juga kemudahan seperti restoran dan homestay Rawa, Lenggeng bagi mereka yang ingin bermalam dan menikmati udara segar dan alam sekeliling.
Saadiah berkata aktiviti sukan berkuda boleh menjadi aktiviti sekeluarga di mana anak boleh dan seisi keluarga dapat meluangkan masa bermesra dan berinteraksi dengan kuda.
Ia adalah tempat yang sesuai untuk kanak-kanak mempelajari bagaimana untuk menyayangi binatang dan alam sekitar.
PERLU FIZIKAL YANG CERGAS
Menurut Saadiah, setiap orang yang berhasrat menjadi seorang penunggang kuda yang baik memerlukan empat perkara utama dalam diri mereka iaitu kecergasan, fleksibel, keseimbangan dan sikap yang betul.
Mungkin sesetengah orang berpendapat untuk menunggang kuda hanya kuda yang membuat segala kerja dan penunggang hanya mengikut apa yang kuda lakukan seperti menunggang motosikal.
Dengan kata lain hanya duduk sahaja di belakang kuda.
"Sebenarnya tidak, penunggang yang baik mestilah cergas, mempunyai kekuatan otot kaki terutama peha, perut dan belakang. Bahagian ini penting bagi membolehkan penunggang duduk dengan tegap di atas kuda dan mudah untuk mengawal kuda.
Menunggang kuda boleh memenatkan disebabkan tuntutan fizikal kepada penunggang, jadi semakin cergas seseorang penunggang adalah lebih baik," katanya.
Di samping itu, fleksibel adalah juga ciri amat penting bagi penunggang untuk membuat perubahan dan pertukaran kedudukan dengan cepat dan mudah.
Pergerakan kuda mungkin kadang-kadang mengejutkan, jadi badan penunggang perlu fleksibel untuk mengikut pergerakan kuda.
HUBUNGAN BAIK
"Keseimbangan lebih merujuk kepada kedudukan badan penunggang ketika menunggang. Ianya amat penting supaya penunggang berada tegap di atas kuda dan dapat mengawal kuda ketika menunggang. Jika kedudukan penunggang tidak seimbang, akan menyebabkan ia sukar mengawal kuda dan berkemungkinan boleh jatuh," katanya.
Saadiah berkata, satu aspek yang paling penting dalam mencapai standard menunggang kuda yang baik ialah sikap.
Penunggang yang baik mesti dapat memahami dan sekurang-kurangnya menyukai kuda walaupun tidak menyayanginya.
"Kuda adalah haiwan yang mempunyai kebolehan 'merasai' dan akan memberi respon terhadap perasaan takut pada penunggang. Jika penunggang takut atau tertekan, kuda akan lebih rasa takut yang menyebabkan kuda sendiri tertekan dan mengambil peluang berkelakuan yang tidak baik.
"Oleh itu, penunggang perlu relaks. Dalam hal ini, menunggang kuda bukan semata-mata penunggang yang mendominasi kuda tetapi ia lebih kepada perkongsian - saling mempercayai. Kebanyakan penunggang yang baik biasanya mempunyai hubungan yang amat baik dengan kuda yang ditungganginya," katanya.
AS Equestrian menawarkan pakej menunggang kuda dan setakat ini sambutan sungguh menggalakkan kerana ramai pengunjung tertarik dengan AS Equestrian yang dibuka pada hari Selasa hingga Ahad.
Oleh Razali Pilus
-- BERNAMA