Pertandingan Cabaran Doktor Kecil Lifebuoy

Lifebuoy, melancarkan pertandingan unik antara sekolah di seluruh negara bermatlamat untuk menyemaikan tabiat menjaga kesihatan di kalangan kanak-kanak Malaysia.

Pertandingan dinamakan Cabaran Doktor Kecil Lifebuoy adalah sebahagian daripada kempen sosial besar-besaran jenama ini untuk memastikan semua rakyat Malaysia menjadikan tabiat membasuh tangan dan membersihkan diri dengan sabun sebagai satu amalan hidup.

Ini khususnya dengan melakukan lima perkara penting setiap hari iaitu apabila mandi, selepas menggunakan tandas serta sebelum sarapan, makan tengah hari dan makan malam.

Cabaran Doktor Kecil Lifebuoy dibuka kepada semua sekolah rendah di seluruh negara di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia. Borang penyertaan boleh didapati menerusi akhbar utama.

Setiap sekolah daripada 16 sekolah terpilih kemudian akan memilih lima murid daripada Tahun Empat dan Tahun Lima bersama se�orang guru. Pelajar terpilih ini akan menjadi ‘Doktor Kecil’ Lifebuoy atau duta kesihatan untuk sekolah masing-masing yang akan menghadiri kem kebersihan interaktif eksklusif tiga hari dua malam anjuran Lifebuoy.

Mereka akan belajar cara kreatif dan berkesan untuk menggalakkan rakan sekolah mereka mengamalkan tabiat menjaga kebersihan, khususnya membasuh tangan dan membersihkan diri dengan sabun lima kali sehari.

Dalam tempoh enam minggu, penilaian dibuat ke atas doktor kecil ini. Pemenang akan menerima pembiayaan untuk mengubah suai tandas dan kemudahan mencuci tangan dengan kos sehingga RM20,000 dan bekalan sabun Lifebuoy selama satu tahun.

Di samping itu, dua sekolah lain akan menerima bekalan satu tahun sabun Lifebuoy sebagai hadiah sagu hati.

Pengarah Penjagaan Rumah dan Peribadi, Unilever (M) Holdings Sdn Bhd, Ainul Yaqin, berkata tekanan positif daripada rakan sebaya boleh menjadi cara yang berkesan untuk menggalakkan anak muda Malaysia mengamalkan tabiat menjaga kebersihan.

Oleh itu, syarikat bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat syarikat untuk memperkasakan kanak-kanak Malaysia menjadi kuasa penggerak perubahan.

“Cabaran Doktor Kecil Lifebuoy adalah landasan yang boleh digunakan pelajar untuk memberitahu kawan dan keluarga mereka mengenai kepentingan membersihkan diri menggunakan sabun lima kali setiap hari.

“Kami percaya, tabiat ini akhirnya akan menjadikan Malaysia negara yang lebih sihat,” jelasnya.