Cabaran Bride Me 2011 : Pertandingan untuk mak andam Malaysia

Bagi jurusolek atau mak andam yang berminat menyertai cabaran ini, mereka boleh mengisi borang dalam laman sesawang http://bridemechallenge.blogspot.com dan menyertakan foto mereka di samping model yang disolekkan itu.

Tiada sebarang yuran penyertaan dikenakan. Untuk maklumat lanjut boleh kunjungi laman sesawang itu atau hubungi 03-22987219. Tarikh tutup penyertaan pada 31 Mac ini.

-----------------

Solekan dan andaman yang menarik sentiasa menjadi nadi kepada sesebuah majlis perkahwinan.

Selain katering, pelamin serta makanan yang dihidangkan kepada tetamu, dua elemen utama itu disifatkan daya penarik si pengantin lalu tidak hairan ia dijadikan perkara pertama dalam merancang sesebuah majlis perkahwinan.

Atas faktor itu, Triple Seven Ventures dan Cosmic Rain Sdn Bhd menganjurkan pertandingan khusus untuk mak andam di seluruh Malaysia bagi menghargai bakat mereka, sekali gus memberi peluang mengembangkan bakat itu di luar negara.

Pengarahnya, Mohanaapriya Sina Raja, berkata Cabaran Bride Me 2011 ini tidak hanya untuk jurusolek atau mak andam yang sudah mencipta nama, tetapi turut memberi peluang kepada muka baru untuk mempersembahkan hasil kreativiti mereka.

“Industri perkahwinan di Malaysia ketika ini berkembang pesat lalu ia berjaya menarik ramai jurusolek serta mak andam muda yang amat kreatif serta berani berdepan saingan dalam kalangan mak andam sedia ada.

“Jadi, Cabaran Bride Me ini ibarat platform untuk mereka, juga yang lebih berpengalaman untuk mengetengahkan bakat dalam lingkungan pelanggan antarabangsa,” ujarnya.

Capaian kepada pelanggan antarabangsa yang dimaksudkan Mohanaapriya itu ialah tiket pergi-balik ke Dubai untuk juara yang membolehkannya menyertai pameran perkahwinan terbesar di Timur Tengah pada April 2012.

Kata Mohanaapriya, Cabaran Bride Me yang julung kali diadakan awal bulan depan bakal menyaksikan peserta bertanding dalam dua kategori iaitu perkahwinan Melayu dan India. Hanya lima yang akan berentap di final pada 10 April ini.

“Pertandingan ini akan diadakan ketika Ekspo Perkahwinan Melayu/India di Pusat Pameran Mid Valley awal April dengan 20 peserta akan dipilih terlebih dulu oleh juri untuk membolehkan mereka ke separuh akhir pada 8 dan 9 April.

“Lima jurusolek atau mak andam daripada dua kategori itu seterusnya ke final dan tiga juri profesional akan menentukan juaranya.

“Antara kriteria dicari adalah kreativiti dan kesesuaiannya dengan andaman yang dilakukan,” katanya yang juga bekas Ratu Malaysia/India 2001.

Jelasnya, setiap peserta diberi kelonggaran untuk menentukan tema dan solekan yang mereka mahukan serta bebas memilih model untuk dipersembahkan.