Masakan Timur Tengah di Baghdad Kafe, Bangi

Sebaik sahaja memasuki ruang Baghdad Kafe, anda bukan sahaja diiringi muzik padang pasir dan Maher Zain, malah keharuman aroma roti Arabnya mampu membuatkan perut tiba-tiba terasa lapar.

Malah aroma nespreso yang turut menyelubungi ruang kafe tersebut menjadikan tekak ingin segera menikmati minuman tersebut.


Segala hidangan yang terdapat di kafe ini akan dihidangkan panas-panas kepada pengunjung yang hadir dan ini sekali gus mampu membangkitkan selera sesiapa sahaja yang ingin menikmati juadah di sini.

Menurut pemiliknya, Sharifah Noor Akma Syed Jamaludin, 40, kafe yang diusahakan sejak Mac 2010 itu berbeza daripada konsep restoran atau kafe biasa.

Ini kerana, konsep yang di ketengahkan Kafe Baghdad merupakan gabungan Iraq dan Switzerland yang berlandaskan keselesaan, ringkas dan tenang.

Katanya, segala juadah yang disediakan di Baghdad Kafe pastinya memikat selera masyarakat setempat.

''Di kafe ini, kesemua hidangan dihidang panas-panas di mana ia hanya dimasak ketika ditempah oleh pelanggan.

''Walaupun kesemua menu yang disajikan merupakan masakan Timur Tengah tapi kami telah 'mengolahnya' mengikut selera dan tekak orang Malaysia,'' ujar ibu kepada dua orang cahaya mata itu.

Menurut Sharifah, ilham untuk membuka kafe tersebut datang daripada suaminya, Ekhlas Tawfik, 60, yang berasal dari Baghdad tetapi telah 35 tahun bermastautin di Switzerland.

Maka tidak hairan segala menu yang disajikan bukan sahaja merupakan masakan Iraq tetapi bahan-bahan yang digunakan turut menggabungkan pelbagai jenis rempah ratus yang berkualiti.

Jelas Sharifah, pihaknya tidak hanya mementingkan keuntungan malah apa yang penting kualiti masakan yang dihasilkan dalam usaha memberikan yang terbaik.

Sebagai contoh, menu nasi yang terdapat di kafe tersebut dimasak dengan menggunakan beras berkualiti iaitu beras Taj Mahal. Herba yang digunakan ada sesetengahnya diimport.

Bukan itu sahaja, malah ada juga beberapa jenis menu yang turut menggunakan buah delima sebagai salah satu bahan utama, mengikut resepi asal dari Iraq.

Kafe yang terletak di No. 9, Jalan SP 1/5, Bandar Seri Putra, Bangi, ini bukan sahaja terletak di kawasan perumahan dan institusi pengajian tinggi, malah kafe dua tingkat ini juga turut dikunjungi pelanggan dari sekitar Bandar Seri Putra, Kajang serta Putrajaya.

Selain menyediakan masakan seperti nasi, roti, piza, kebab dan sebagainya, Baghdad Kafe turut menyajikan pelbagai jenis minuman yang sihat dan berkhasiat.

Terkenal dengan hidangan teh Arab yang keras bau dan rasanya, Baghdad Kafe turut menyediakan teh yang ditanam di Sri Lanka tetapi hanya terdapat di Switzerland.

Jangan risau, harga yang ditawarkan juga berpatutan dan ia sememangnya lazat untuk dinikmati.