Tentang kecantikan, ramai yang alpa mengenai bahagian leher ke bawah. Kebanyakan wanita juga tidak begitu kisah mengenai parut pada paha, perut atau jerawat pada belakang badan atau dada. Pendek kata, berbanding wajah penjagaan badan kurang dititikberatkan.
Penjagaan kulit tetap perlu bermula daripada kepala sehingga ke hujung kaki. Terdapat banyak produk menawarkan set memanjakan tubuh, tetapi kurang yang mementingkan mengenai produk mengurangkan bintik atau parut, kedutan dan sebagainya seperti yang ditawarkan untuk wajah.
Jika anda pengguna bijak, pilih produk sesuai dengan kulit khusus untuk mengatasi masalah yang dihadapi. Produk yang baik mesti menggunakan formula bagus dan mengandungi pelindung matahari. Pastikan ia tidak terlalu wangi atau mengandungi bahan yang boleh menyebabkan radang kulit.
Akhir sekali, jangan mengukur kualiti produk semata-mata berdasarkan harga atau jenamanya. Selamat memanjakan tubuh anda!
# Segarkan tubuh dengan rangkaian penjagaan badan L’occitane
Menggunakan minyak, mentega dan susu badam, produk penjagaan badan L’occitane Almond berkesan menyegarkan tubuh. Badam dikatakan berupaya menegang dan melicinkan kulit. Terdapat tiga produk pembersihan iaitu lulur Almond Delicious Paste (200 ml, RM 155) yang bertukar menjadi losyen sebaik bercampur dengan air dan mandian Almond Shower Oil (250 ml, RM 87) yang bertukar menjadi buih apabila bercampur air. Ia juga sesuai disapu pada kaki sebelum mencukur kerana memudahkan pencukuran.
Terdapat juga set rawatan tubuh iaitu Almond Bust Gel (50 ml, RM170) untuk menentang kehilangan ketegangan payu dara, Almond Delicious Tummy (150 ml, RM162) untuk pinggang ramping, Almond Delightful Shape (200 ml, RM162) untuk penjagaan kelangsingan badan dan Almond Supple Skin Oil (100 ml, RM173) untuk menentang kulit kering dan mencegah regangan.
Kulit berseri dengan May White Radiance
Lam Soon Edible Oils Sdn Bhd memperkenalkan produk pembersih badan yang menggabungkan teh putih dan pati sutera dalam sabun dan krim mandian May White Radiance. Teh putih dikatakan mengandungi antioksida yang dapat melindungi dan menghindari kulit daripada radikal bebas di samping menenang serta melembapkan kulit. Pati sutera atau fibroin sutera pula mengandungi protein bagi mengekalkan paras kelembapan kulit pada tahap optimum dan dipercayai mempercepatkan proses pembaharuan kulit.
Boleh didapati dalam bentuk sabun pada harga RM2.65 satu pek dengan tiga buku sabun 90 gm dan mandian berharga RM5.90 untuk 250 ml, RM8.10 untuk pek isi semula 600 ml dan RM13.90 untuk 700 ml.
Rawatan mengembalikan bentuk tubuh dengan Clarins
Clarins melancarkan rawatan menegangkan kulit tubuh generasi kelima, Clarins High Definition Body Lift. Ia mengurangkan masalah selulit, menjadikan kulit lebih lembut dan tegang. Ia juga membantu mengasingkan tisu lemak dengan meningkatkan peredaran darah dan limfatik serta merangsang penyingkiran lemak berlebihan. Anda boleh menikmati urutan oleh pakar terapi di Clarin dengan harga RM210 (satu jam) dan RM145 (45 minit).
Haruman taman tropika dalam produk penjagaan badan Crabtree & Evelyn
Crabtree & Evelyn memperkenalkan set penjagaan badan mewah dengan haruman eksotik mangga, evening primrose dan minyak kelapa serta protein susu. Melembutkan kulit dan menjadikan ia berkilau, boleh didapati dalam bentuk mandian berkrim , mandian susu, krim tubuh dan losyen. Harga tidak didapati.
Oleh Halina Mohd Noor