Lilin rawat mata sembap

Mata mampu memberi gambaran sejauh mana individu itu menjalani kehidupannya secara sihat. Daripada sinar mata memberitahu sama ada seseorang itu mendapat keseimbangan nutrisi, tidur secukupnya atau dikerah 'berkerja' lebih daripada kemampuannya.

Kesukaran untuk mendisiplinkan diri menjadikan mata menjadi sembap, lingkaran hitam di sekeliling mata dan wujudnya kedutan halus.

Memang keadaan tersebut mencacatkan penampilan khususnya pada wanita dan apabila ia telah berlaku jangan risau, penyelesaiannya tetap ada.

Masalah sama berlaku pada Rafidah Musa, 34, yang kerap mengalami mata sembap disebabkan tidak cukup tidur dan terlalu letih berkerja.

Namun segalanya berubah pabila beliau berkesempatan memanjakan diri di sebuah spa di sebuah hotel di Dubai ketika bercuti bersama keluarga beberapa tahun lalu.

Di sana beliau tertarik untuk mencuba rawatan yang diberi nama eye wax atau lilin mata. Bukan saja masalah sembap dapat diatasi lebih menarik matanya nampak lebih sihat dan segar.

Pemilik Bidasari Beauty and Spa ini lantas memilih rawatan tersebut sebagai antara rawatan istimewa di spa yang baru beroperasi kira-kira tiga bulan lalu.

"Menari tentang rawatan ini kesannya kelihatan lebih baik walau dengan sekali rawatan. Mata sembap dan garisan hitam di sekeliling mata nampak berkurangan selepas hanya satu sesi," ujar Rafidah ketika ditemui di premis perniagaanya yang terletak di Hulu Langat, Selangor.

Rafidah berkata, lilin yang digunakan dalam rawatan ini bukanlah lilin biasa sebaliknya telah dirumus khas mengandungi bahan semula jadi seperti minyak zaitun dan ekstrak buah pic yang berkhasiat untuk kesegaran mata.

"Pelanggan diminta untuk berbaring dan relak sebelum lilin dituang ke atas mata yang tertutup. Ia tidak panas sebaliknya pelanggan akan merasa seperti mata dituam dengan lembut.

"Setelah lilin dituang ke mata yang tertutup, ia dibiarkan selama 15 minit supaya khasiat lilin dapat menyegarkan mata yang kusam.

"Selepas itu kepingan lilin yang keras akan ditanggalkan dan pelanggan akan menikmati urutan di poin-poin tertentu mata oleh ahli terapi terlatih bagi melancarkan peredaran darah di sekeliling mata," jelas Rafidah.

Rafidah mencadangkan rawatan sebanyak tiga kali iaitu seminggu sekali memadai untuk kesan yang sempurna.

Selain rawatan mata, beliau juga menawarkan pakej rawatan tubuh dan wajah.

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL