Kasut Scholl Junior

Seperti orang dewasa, kanak-kanak juga memerlukan kasut yang selesa untuk mereka bergerak apatah lagi dengan sifat semula jadi mereka yang gemar bermain dan lasak.

Malangnya pilihan kasut yang selesa untuk golongan ini agak terhad. Ibu bapa pula mengambil langkah mudah mendapatkan apa saja yang ada di pasaran tanpa begitu mementingkan keselesaan.

Memenuhi keperluan si kecil, jenama kasut antarabangsa, Scholl, tampil dengan koleksi baru yang pasti mengujakan.

Rangkaian baru yang dipanggil sebagai Scholl Junior ini mengutamakan keselesaan pada kaki yang sedang membesar dan memastikan ia dilindungi sepenuhnya.

Menggunakan teknologi yang menyokong lengkungan pada tapak kaki melalui pelapik tapak kaki yang lembut, koleksi terbaru ini bukan sekadar memberi keselesaan optimum bahkan membantu keseimbangan bagi mengelak kaki terpelecok atau jatuh.

Menyedari kanak-kanak hari ini semakin bergaya, koleksi Scholl Junior didatangkan dalam pelbagai reka bentuk menarik untuk kanak-kanak lelaki mahupun perempuan.

Pilihan warna yang ceria seperti kuning, merah ceri dan sebagainya sememangnya sesuai dengan sifat periang kanak-kanak.

Didatangkan dalam saiz antara 28 hingga 35, Scholl Junior boleh diperoleh pada harga antara RM 128 hingga RM138 sepasang.