Koleksi baru jam tangan hebat
Megah dengan kejayaan dilakarkan dalam dunia penerokaan waktu dan keunggulannya sebagai penjaga detik rasmi sehingga mencatatkan sejarah dunia yang terus diingati, jenama jam terkemuka dari Switzerland, Omega menampilkan beberapa koleksi baru jam tangan hebat serta mempunyai nilai sentimental tinggi pada pameran Baselworld 2009.
Presiden Swatch Group Singapura, David Ponzo, berkata koleksi diketengahkan untuk pameran itu memperlihatkan rekaan jam tangan pada masa hadapan yang berlawanan masa lalu. Koleksi dipaparkan turut menggambarkan komitmen tinggi jenama jam tangan mewah itu untuk terus mengekalkan identiti menghasilkan rekaan hebat dan mempamerkan inovasi teknologi dalam pembuatan jam tangan Swiss.
Ponzo berkata, antara koleksi terkini yang diperkenalkan ialah edisi terhad model besi waja dan platinum, Speedmaster Professional Moonwatch Apollo 11. Jam tangan itu diperkenalkan bagi menghargai dan memperingati ulang tahun ke-40 kejayaan Speedmaster Professional yang menjadi penjaga waktu rasmi sekumpulan angkasawan NASA serta berjaya menjejak kaki kali pertama ke bulan tanggal 20 Julai 1969 lalu.
“Kejayaan Speedmaster Professional yang pertama menjejakkan kaki ke bulan, hingga kini terus diingati dan ia menjadi sejarah dunia yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila. Oleh sebab itulah bagi meraikan ulang tahun ke-40 kejayaan itu sekali lagi ditampilkan koleksi edisi terhad siri jam tangan berkenaan. Dengan berbuat demikian ia bukan saja menunjukkan sebagai satu pencapaian saintifik paling penting dalam sejarah manusia tetapi turut menyatakan bahagian dalam biografi bagi jenama kami,” katanya ketika ditemui baru-baru ini bagi memperkenalkan koleksi jam tangan Omega pada pameran jam tangan dan perhiasan Basel 2009.
Koleksi edisi terhad itu hanya menampilkan dua rekaan iaitu satu dalam besi waja bersama perak tulen yang terdapat sebanyak 7,969 utas manakala satu lagi rekaan didatangkan dalam plantinum dengan gandingan emas kuning 18 karat (69 utas). Kedua-dua rekaan menampilkan gaya rekaan unggul dan canggih serta sehebat nama jenama jam tangan mewah berkenaan.
Koleksi lain yang dipamerkan ialah Seeamaster Ploprof 1200M yang mengembalikan mitos penyelam. Kali pertama, Omega melancarkan jam tangan khusus untuk penyelam menyelam di lautan dalam ialah pada 1970 iaitu Seamaster 600 yang terkenal sebagai Ploprof. Kini jenama itu memperkenalkan versi terbaru klasik dengan rekaan teknologi lebih canggih, Ploprof 1200M dengan kuasa Co-Axial garis pusat 8500 dan kalis air kedalaman sehingga 1200 meter (4000 kaki).
Lebih menarik, jam tangan terkini itu mempunyai ketepatan masa yang begitu jitu biarpun berada dalam paras air yang dalam. Jam tangan untuk penyelam itu menggabungkan gaya reka bentuk lagenda dan masa depan. Ini menjadikannya antara koleksi terkini 2009 yang hebat diperkatakan.
Kembali ke akar umbi, koleksi Co-Axial 8500/8501 turut dipamerkan. Jenama itu pertama kali melancarkan jam tangan yang memaparkan Co-Axial Escapement ialah pada 1999. Selepas 10 tahun, Co-Axial mengungguli revolusi terkini dalam pembuatan jam tangan mekanikal. Justeru, kehadiran jam tangan mekanikal itu menjadikan rangkaian jam utama jenama itu kini hampir lengkap dan eksklusif.
Sejak sekian lama Omega juga dikenali menghasilkan rekaan hebat bagi inovasi teknologi. Apabila koleksi Constellation Manhattan diperkenalkan pada pertama kali 1982, ia menjadi ikon dan menjadi segera dikenali sebagai salah satu jam tangan menarik di dunia. Tahun ini, jenama itu mereka bentuk semula rangkaian koleksi dan ia tampil dengan gaya lebih menarik yang serasi dengan jiwa generasi baru.
Penzo berkata, melengkapkan lagi koleksi dan memenuhi permintaan serta gaya aliran, tahun ini jenama itu turut mengetengahkan koleksi perhiasan, Constellation Griffes. Koleksi itu merangkumi cincin dalam tiga saiz berbeza dan juga loket, manse, rantai dan gelang tangan. Semua itu didatangkan dalam pilihan sama ada emas kuning 18karat, emas putih atau emas mawar bersatu dengan berlian dan batu permata.