Hajaba - Tudung pelengkap gaya


Perubahan fesyen menyaksikan banyak kemajuan berlaku dalam penataan gaya membabitkan busana, sepatu mahupun tudung kerana ketiga-tiganya saling berkait apabila menyentuh mengenai penampilan sedondon yang sering dituntut dalam peragaan diri.

Jika dilihat perkembangan terkini, aliran fesyen bertudung paling menyerlah dengan pelbagai jenis tudung membanjiri pasaran dalam usaha pengeluar untuk memenuhi selera pengguna sekali gus memeriahkan lagi dunia fesyen.

Sama ada disedari atau tidak, konsep bertudung kerana memenuhi tuntutan agama tidak begitu diambil kira kerana kadang kala ada yang memakai tudung kerana ingin melindungi uban di kepala atau sekadar bertudung mengikut musim.

Pokok pangkalnya, pilihan di tangan anda kerana ada banyak jenis tudung yang boleh diselaraskan dengan penampilan anda, sama ada ingin dilihat moden, bergaya mahupun sopan dalam persalinan tradisi.

Bukan sekadar fesyen: Konsep sebenar wajar diperbetul supaya imej bertudung terpelihara, raih penghormatan daripada mereka yang memandang

Ada tudung atau selendang panjang yang masing-masing apabila dipakai, menimbulkan kesan tersendiri terhadap individu berkenaan, bergantung juga kepada tempat dan ketika ia dipakai.

Bagaimanapun, agak aneh juga apabila melihat sesetengah individu mengenakan tudung dengan pakaian yang menampakkan pusat dan sendat serta menampakkan bentuk badan.

Sama ada mereka mengetahui atau tidak konsep bertudung yang sebenarnya bertujuan menutup aurat, hal ini wajar diperbetulkan supaya imej mereka yang bertudung terpelihara sekali gus meraih penghormatan daripada mereka yang memandang.

Pensyarah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail, berkata Islam mempunyai banyak pilihan untuk mereka yang mengetahui mengenai peraturan bertudung atau apa saja cabang.

Sharifah Hayati berkata, Islam memberi banyak pilihan untuk mereka yang ingin melakukan kebaikan. Dalam hal bertudung misalnya, wajar difahami sama ada anda bertudung kerana menutup aurat atau menutup rambut.

“Tidak dinafikan kita ada melihat mereka yang menutup bahagian kepala khususnya rambut tetapi memakai baju singkat seperti pada paras betis yang mana ia tidak bertepatan dengan konsep bertudung jika atas alasan menutup aurat,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Sharifah Hayati berkata, kecantikan dalaman adalah penting bagi wanita yang bertudung atau memasang niat untuk bertudung kerana kecantikan itu dirujuk kepada ilmu pengetahuan yang mereka miliki mengenai apa yang ingin dilakukan.

“Kalau mereka berilmu, mereka tahu untuk bagaimana tampil cantik dengan tidak menyalahi peraturan yang ditetapkan agama. Kalau betul-betul ingin melakukan sesuatu yang bertepatan dengan agama, pastikan anda melakukan dengan betul dan ikhlas.

“Sebaliknya, jika ingin memakai tudung hanya kerana memenuhi tuntutan fesyen dan memikirkan kesan panas atau tidak selesa, baik tidak usah melakukannya daripada anda mencalar imej bertudung yang sepatutnya tampil dengan penataan yang cukup manis, sopan serta menepati kehendak agama,” katanya.

Hakikatnya, ada banyak pilihan untuk mereka yang mahu tampil bertudung kerana kepelbagaian dalam fesyen menyediakan beraneka pilihan tudung yang dihasilkan daripada fabrik berbeza.

Ada tudung diperbuat daripada kain kapas, lycra, jersi, sutera malah benang bulu sekalipun dan apa yang perlu dilakukan ialah memilih mengikut selera dan kemahuan anda.

Jika ingin mencari tudung yang serap peluh, tudung daripada kapas adalah pilihan tepat dan jika ingin mencari tudung yang boleh menyuntik seri anggun, selendang mungkin apa yang anda cari.

Dalam erti kata lain, fesyen bertudung sama ‘laju’ arusnya dengan busana, tas tangan, sepatu, aksesori mahu pun solekan yang sentiasa diperbaharui untuk disesuaikan dengan zaman.

Begitu pun, wajar untuk anda memberi penekanan terhadap konsep bertudung yang sebetulnya ialah menutup aurat, tidak mendedahkan anggota badan yang sepatutnya dilindungi.

Hajaba penuhi selera bertudung

Jenama Hajaba mungkin masih baru di pasaran, tetapi butik yang terkenal dengan koleksi tudung, jubah dan busana muslimah lain itu berupaya memenuhi keperluan wanita bertudung lantaran pilihan koleksi menarik yang tersedia di situ.

Pemilik butik Hajaba, Mona Din, berkata terdapat pelbagai jenis tudung di Hajaba dan antara yang menjadi pilihan ialah tudung yang diperbuat daripada bahan dipanggil lycra.

Katanya, tudung adalah antara kelengkapan penting bagi penampilan wanita muslimah justeru sebagai pemilik dan juga pengguna busana muslimah, beliau mementingkan keselesaan selain tampil sopan.

“Tudung daripada lycra bukan saja selesa dipakai, tetapi ia mudah dikendalikan. Di Hajaba, kami menyediakan pelbagai jenis tudung daripada lycra dan kapas.

“Ada yang bercorak dan ada yang polos. Pilihan ini sengaja dibuat beraneka supaya pengguna ada banyak pilihan. Bagi yang berwajah bulat, mereka boleh memilih corak berjalur manakala yang ingin kelihatan berisi pada wajah, mereka sesuai dengan tudung bercorak penuh,” katanya.

Selain menyediakan tudung, Hajaba juga turut menawarkan selendang dan anak tudung dalam usaha memenuhi keperluan pengguna yang ingin tampil menawan sambil pada masa sama tidak mengenepikan tuntutan agama.

Petua penjagaan tudung lycra:

* Untuk membasuh tudung yang dihasilkan daripada lycra, anda hanya perlu mencelupnya ke dalam air yang dicampur dengan pembersih cecai. Celup beberapa kali sehingga anda yakin kotoran seperti peluh sudah bersih.
* Lakukan di bawah air mengalir beberapa kali.
* Raut bahagian pangkal tudung bagi mengeringkannya. Jangan sekali-kali meramas atau melipat bahagian hadapan tudung lycra yang sedikit keras.
* Sidai di tempat yang teduh untuk mengelakkan warnanya cepat pudar.
* Untuk menyimpannya, lipat tudung berkenaan mengikut ira bahagian yang keras bagi memastikan ia akan kelihatan cantik apabila anda memakai sebagai anak tudung atau tudung.
* Tudung daripada lycra tidak perlu digosok.