Set Lengkap Bersalin Orang Kampung

Orang Kampung (OK) Corporation Sdn Bhd, syarikat yang memasarkan produk kesihatan berasaskan herba milik Bumiputera sepenuhnya di negara ini, kini muncul dengan produk terbarunya khas untuk ibu baru bersalin.

Set Lengkap Bersalin, jenama baru ini dicipta khas untuk memulihkan kesihatan dalaman ibu bersalin secara menyeluruh. Ia mempunyai 13 jenis barangan seperti seri pilis, seri lulur, seri susut, minyak telon, ubat periuk, minyak merah, kapsul kacip fatimah, minyak sebatian gamat dan jeli gamat.

Pengarah Urusan OK Corporatian, Habibul 'Ajmi Manggar, berkata set itu dicipta khas untuk ibu bersalin dengan berpandukan perbidanan secara tradisional dan diolah agar dapat disesuaikan dengan masyarakat pada hari ini tanpa sebarang keraguan.

Katanya, produk yang ditawarkan pada harga RM168 ini, mudah dibeli oleh semua golongan kerana harganya sangat berpatutan, manakala ramuan ada di dalam pek berkenaan dihasilkan sesuai untuk tempoh masa berpantang.

"Semua produk ditawarkan dalam satu pek khas ini bertujuan memudahkan bakal ibu atau ibu yang masih tercari-cari produk sesuai untuk digunakan ketika berpantang. Produk ini adalah satu set lengkap dan ibu yang baru lepas bersalin tidak perlu lagi mencari produk lain kerana semuanya sudah tersedia dalam pek khas ini.

"Istimewanya, produk ini turut didatangkan khas dengan bengkung, botol air dan juga beg untuk memudahkan ibu membawa perkakas bayi," katanya selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang hadiah Peraduan Bonanza OK 2009, di pasar raya Mydin, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini.

Habibul berkata, jenama OK adalah satu produk kesihatan yang sangat sinonim dengan mereka yang biasa menggunakan bahan semula jadi bagi melakukan sebarang rawatan.

Katanya, produk syarikat itu yang mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mempunyai sijil Halal dan Amalan Pengilang Baik (GMP), sentiasa mendapat permintaan tinggi kerana terbukti menggunakan bahan asli dan kualitinya juga tinggi.

"Saya memberi jaminan, setiap pengguna yang menggunakan produk baru kami ini akan merasai kepuasan menyeluruh," katanya sambil mengesahkan produk Set Bersalin OK ini boleh diperoleh di semua pasar raya dan toko jamu seluruh negara pada masa ini.

Dalam pada itu, Mahnurfah Mohd Nur, 36, dari Nibong Tebal, Pulau Pinang diumumkan pemenang hadiah utama Peraduan Bonanza OK 2009 Siri ke-3, apabila berjaya menjawab semua soalan dan memilih kunci yang tepat pada soalan terakhir.

Kejayaannya itu membolehkan beliau membawa pulang hadiah utama berupa sebuah kereta Proton Saga BLM 1.3 berharga RM36,000. Selain Mahnurfah, seramai 15 pemenang lain dari seluruh negara turut menerima hadiah masing-masing berupa komputer riba, loket emas, sistem teater rumah, PDA dan televisyen.

Habibul berkata, bagi peraduan siri ketiga ini, sebanyak 6,000 penyertaan diterima daripada seluruh negara sekali gus membuktikan ia semakin mendapat perhatian ramai masyarakat.

"Insya-Allah, jika mendapat sambutan yang memberangsangkan, kita akan meningkatkan jumlah hadiah pada peraduan akan datang," katanya.

Bagi mendapatkan sebarang keterangan lanjut mengenai produk ini, orang ramai boleh melayari laman web www.orangkampung.com atau menghubungi talian bebas tol 1-800-88-0899.