Berbeza dengan produk pengguna lain seperti kosmetik atau kasut, produk penjagaan kulit untuk wajah memerlukan perhatian yang teliti. Tersilap membeli produk bersesuaian, impian untuk memiliki kulit yang licin dan halus bak kulit telur sukar untuk dicapai.
Bagaimanapun, apabila berkunjung ke pasar raya atau farmasi sering kali membuatkan seseorang itu rambang mata melihat pelbagai jenama produk penjagaan kulit, lebih-lebih lagi apabila dikerumuni wakil jurujual yang mempromosikan produk masing masing. Pengaruh iklan di televisyen atau surat khabar yang setiap satu mendakwa kehebatan produk masing-masing, selain pelantikan selebriti popular sebagai duta juga ada kalanya membuatkan seseorang pengguna itu membeli tanpa mengetahui apa sebenarnya yang kulit beliau perlukan.
Hakikatnya, setiap manusia mempunyai kulit yang berbeza tekstur dan keperluan. Oleh itu, pengguna disaran mengenal pasti jenis kulit dan matlamat yang ingin dicapai terlebih dulu sebelum mengeluarkan duit untuk membeli produk yang diimpikan.
Pengurus kaunter Clinique KL Sogo, Leong Mei Mei, berkata kesilapan mengenal pasti keperluan kulit menyebabkan ramai pengguna tidak memperoleh kulit impian walaupun produk yang dibeli berharga ratusan ringgit kerana jenisnya tidak bersesuaian dengan masalah kulit seseorang itu.
“Mengenal pasti keperluan kulit khususnya jenis kulit anda adalah langkah pertama yang perlu dilakukan supaya apabila anda membeli produk penjagaan kulit, ia bersesuaian dengan kulit anda. Kita semua mempunyai kulit yang berbeza, ada yang mempunyai kulit berminyak, ada juga berkulit kering, malah ada yang mempunyai gabungan kedua-duanya. Jadi, dengan mengetahui keperluan kulit, barulah anda boleh membeli produk penjagaan kulit yang sesuai dengan masalah dihadapi.
“Sebagai contoh, ada wanita yang hendak memutihkan kulit wajah kerana terpengaruh dengan iklan yang dilihat, sedangkan kulitnya mempunyai masalah lain yang perlu dia tangani terlebih dulu. Misalnya dia ada banyak jerawat, jadi masalah itulah yang perlu diatasi dulu,” katanya ketika ditemui pada majlis pengenalan konsep baru kaunter Clinique, di gedung beli-belah Sogo Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Beliau berkata, kulit yang baik mempunyai keseimbangan iaitu tidak begitu kering, tetapi tidak juga berminyak, dan bagi memperoleh ciri-ciri itu pengguna perlu rajin mengamalkan rutin penjagaan wajah setiap hari.
“Sebenarnya kita hanya perlu tiga minit saja untuk memperoleh kulit idaman. Rutin penjagaan kulit bukan sesukar yang disangka, anda hanya perlu mencuci, membilas, menggunakan penyegar dan melembapkan kulit. Rutin ini sebaik-baiknya perlu dilakukan sekali pada pagi hari selepas bangun tidur dan sekali lagi pada malam hari.
“Bagaimanapun, bagi amalan pada waktu malam pengguna dinasihatkan menggunakan produk tambahan bagi membuang sisa solekan sebelum tiga rutin asas tadi bagi memastikan kulit kita benar-benar bersih dan dapat menikmati pemulihan sebaiknya,” katanya.
Beliau berkata, ada pengguna yang membuat tanggapan penggunaan produk penjagaan kulit yang baru diaplikasikan tidak sesuai dengan kulit mereka terutama apabila melihat jerawat tumbuh.
Dalam hubungan itu, beliau menasihatkan pengguna supaya tidak mudah panik kerana lazimnya jerawat tumbuh adalah satu proses semula jadi ketika menggunakan produk penjagaan kulit yang baru kerana ketika itu kulit akan mengalami pemulihan dengan membuang sisa kotoran yang ada dalam kulit menerusi jerawat.
Bagaimanapun, katanya, jika kulit mengalami kerengsaan seperti kelihatan warna merah dan rasa gatal, pengguna perlu menghentikan penggunaan produk itu kerana beliau sebenarnya mengalami alahan kulit yang tidak sepatutnya berlaku jika produk itu bersesuaian dengan kulitnya.
“Ada produk yang dihasilkan dengan tidak menjalani ujian klinikal bagi alahan kulit. Jadi, kepada pembeli anda perlu membaca label pada sesuatu produk itu. Clinique antara produk yang dihasilkan dengan ujian makmal yang teliti dan ia juga melabelkan produknya sebagai allergy tested yang bermakna sudah menjalani ujian lahan.
“Produk yang mempunyai label itu hanya akan dikeluarkan selepas ujian pengguna mendapati tiada alahan di kalangan responden walaupun seorang dan jika ada berlaku alahan, Clinique akan terus memperbaiki formulasinya sehingga kajian mendapati 100 peratus responden tiada alahan, malah kami 100 peratus bebas wangian,” katanya.
Panduan beli produk penjagaan kulit
* Dapatkan pandangan pakar di kaunter untuk mengetahui jenis kulit, sama ada kering, berminyak atau gabungan kedua-duanya.
* Pengguna perlu kenal pasti keperluan utama kulit sebelum pilih produk penjagaan kulit yang bersesuaian, sama ada ingin memutihkan kulit belilah rangkaian pemutihan.
* Baca label terlebih dulu kerana hari ini ada pelbagai label yang dikeluarkan, misalnya allergy tested (produk dihasilkan sudah menjalani ujian alahan), hypo allergy (bebas alahan) dan no fragrance (100 peratus bebas wangian).
Konsep baru kaunter Clinique
CLINIQUE, yang diasaskan di Amerika syarikat diperkenalkan di pasaran secara kebetulan. Pada 1967, ketika revolusi masih berbalam, Pengarang majalah Vogue, Carol Phillips menemubual pakar dermatologi terkenal di Manhattan, Dr Norman Orentreich. Ketika menjelaskan falsafah penjagaan kulitnya, Dr Orentreich melahirkan idea mudah yang dapat mengubah industri kecantikan. Katanya, kulit cantik boleh dicipta.
Ketika itu, ramai berpendapat kulit yang cantik mulus disebabkan genetik. Namun, ketika bermulanya era baru penjagaan kulit, menunjukkan produk boleh memulihkan kulit anda! Anda tidak dibelenggu dengan masalah kulit semula jadi! Keyakinan falsafah Dr Orentreich itu menggembirakan wanita di seluruh dunia. Malah, wawasan keluarga Estee Lauder, menggerakkan usahanya bersama Carol Phillips, menjadikan impian suatu kenyataan dengan kehadiran rangkaian baru produk penjagaan kulit.
Dengan pengenalan sistem penjagaan kulit tiga langkah, iaitu membersih, mengelupas dan melembap, Clinique dilahirkan pada 1968. Clinique melancarkan rangkaian penjagaan kulit pertama yang diuji pakar dermatologi selain ujian alahan dan 100 peratus bebas wangian, dan seterusnya adalah kisah klasik yang terpahat dalam lipatan sejarah.
Tahun ini, Clinique berusia 41 tahun dan misinya tetap sama ketika kali pertama diperkenalkan dulu, iaitu menyediakan rangkaian produk yang bermutu dan berkesan bagi menyerlah dan memulihkan setiap jenis kulit.
Hingga kini, semua produk Clinique dihasilkan ahli dermatologi. Clinique juga berpegang teguh dengan prinsipnya dalam ujian alahan, maknanya sebelum sesuatu produk dilancarkan, produk itu perlu diuji pada 600 orang sebanyak 12 kali, dan ini bermakna sebanyak 7,200 ujian dijalankan. Jika ujian ini menunjukkan sebarang kesan alahan, produk tidak akan dilancarkan malah dihantar semula di makmal untuk dirumus semula. Semua produk Clinique 100 peratus bebas wangian kerana kajian menunjukkan wangian antara penyebab keradangan kulit.
Kini Clinique sekali lagi menjadi pelopor dengan pembukaan semula kaunter yang diubah suai di pusat beli-belah Sogo, sesuai dengan konsep Suatu Pengalaman Baru (The New Experience).
Berkeluasan 342 meter persegi dan diserikan warna putih yang menggambarkan sentuhan dermatologika, Pengalaman Clinique memfokuskan interaksi di antara perunding Clinique dan pelanggan. Untuk setiap sasaran jualan, pengalaman disediakan khusus memastikan perunding dan kaunter jenama itu dapat menyediakan maklumat dan perbincangan terperinci bagi meningkatkan kefahaman mengenai kulit.
Pengalaman Clinique membabitkan pengubahsuaian semula kaunter yang digelar Pusat Diagnosis yang membolehkan pelanggan melihat lebih dekat lagi setiap produk Clinique. Perunding dan pelanggan duduk bersama sambil diberikan penjelasan terperinci mengenai kulit dan produk yang sesuai digunakan. Sampel dan produk juga diletakkan separas mata supaya mudah dilihat dan dicapai. Justeru, ciri ini yang menarik pelanggan untuk singgah di kaunter itu.
Paling penting, setiap perunding dilatih agar dapat menjalankan perundingan kulit secara lebih komprehensif. Selain komputer Clinique, teknologi terkini dermatologika Clinique Diagnostic Mirror digunakan. Mula digunakan Dr Norman Orentreich, pengasas dan pembimbing ahli dermatologi Clinique, Mirror memudahkan beliau melihat masalah kulit pesakit dan menentukan sama ada pesakit berkulit kering, berminyak, pembesaran pori, masalah garis penuaan, warna kulit tidak sekata atau jerawat.
Kini, semua Perunding Clinique dilengkapi pengetahuan mengenai penggunaan Mirror ketika sesi rundingan bersama pelanggan dan bagaimana mengatasi kulit bermasalah. Diagnostic Mirror membolehkan perunding melihat dengan lebih jelas masalah kulit pelanggan menerusi cermin pembesar, manakala pelanggan melihat pantulan wajah mereka pada cermin biasa, sekali gus membolehkan komunikasi dua hala diadakan serentak. Perunding akan berkongsi pengetahuan dengan pelanggan mengenai kulit mereka selain menyediakan maklumat peribadi secara interaktif untuk penilaian.
Pengurus Besar Jenama Clinique, Sharyn Wong, berkata konsep baru itu adalah penambaikan yang diilhamkan bagi meningkatkan mutu khidmat jenama itu kepada pelanggan.
“Konsep Pengalaman Baru diilhamkan di New York. Ia adalah saat terbaik Clinique meningkatkan pendekatan kami kepada pelanggan dan sebagai satu jenama, kami meraikan sejarah dermatologika dan menumpukan semula tujuan kami menyediakan perundingan kulit terbaik untuk lelaki dan wanita. Kami memahami, perkhidmatan sebegini yang dikehendaki pelanggan,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada pengenalan pengalaman baru ini, pada awal tahun lepas, Clinique melancarkan program pentauliahan bagi meningkatkan pengetahuan perundingnya mengenai kulit pada satu tahap yang lebih baik. Dikenali sebagai Accreditation Programme, tiga peringkat kurikulum direka hasil kerjasama dengan Weil Cornell Medical College dan Orentreich Medical Group, New York. Setiap Perunding Clinique perlu melengkapkan Accredited Consultant Level 1, yang mengajar mereka mengenai asas psikologi kulit, sistem penghantaran dan cadangan produk berasaskan jenis kulit dan keperluan.
Selepas menamatkan program Tahap 2 dan 3, perunding Clinique juga boleh membantu menganjurkan bengkel untuk pesakit dermatologi. Program Clinique Accreditation sebenarnya bagi melebarkan peluang kerjaya Perunding sambil lebih memahami mengenai kulit.
Oleh Fadzlena Jafar