Bamboo Lace: Pakaian dalam mesra alam

Mengetengahkan manfaat semula jadi kepada pengguna dan alam sekitar, buluh juga memainkan peranan penting dalam dunia fesyen hari ini. Ia memiliki ciri yang wanita ingini iaitu fabrik eko, fabrik kapas diperbuat daripada gentian buluh.



Fabrik kapas daripada gentian buluh itu sangat lembut seperti kain kapas yang mudah menyerap, mengunci kelembapan selain mempunyai ciri antibakteria. Ini kerana buluh mampu menyingkirkan kelembapan dan fabrik daripada pokok itu mampu menggalakkan pengedaran udara.

Menyedari tanggungjawabnya pada masyarakat dan ekologi, jenama pakaian dalam terkenal, Triumph membawa wanita mendekati alam sekitar dengan memperkenalkan rangkaian renda kapas buluh terbaru, Ecochic Bamboo Lace.

Koleksi berkenaan diperbuat daripada gentian buluh sekali gus menjadi jenama pertama yang menawarkan manfaat kepada pengguna menerusi pengeluaran pakaian dalam berkonsepkan penggunaan alam semula jadi.

Rangkaian terbaru itu memberikan pelbagai kombinasi sulaman pakaian dalam menarik lagi menawan dengan sentuhan renda yang cantik. Koleksi itu terdiri daripada coli jenis tali yang boleh tanggal dengan mangkuk saiz ½ kepada saiz ¾ bersama koleksi seluar dalam berpadanan hingga ke anak baju rona putih krim dan warna kulit.

Koleksi coli, seluar dalam dan anak baju itu memastikan pakaian yang menyentuh kulit paling semula jadi, tulen dan bebas daripada toksin. Pilihan terbaik buat wanita yang sering mengalami kulit sensitif atau mudah naik ruam, di samping bebas daripada sebarang penggunaan pewarna, peluntur dan bahan kimia, ia secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko pada alahan kulit dan reaksi.

Rangkaian Bamboo Cotton Lace berkenaan boleh didapati di semua pusat beli-belah bermula Oktober. Ia bukan saja rasa selesa dan hebat pada kulit malah pilihan yang wajar demi kesejahteraan alam sekitar.

Oleh Hidayah Mohammad

Tarikan Kurung Pahang Kelady

Wanita sentiasa menitikberatkan pakaian yang dapat menjadikan mereka kelihatan cantik dan bergaya khususnya apabila menghadiri majlis keraian.



Sebab itulah, antara faktor pemilihan pakaian terutamanya baju kurung bagi golongan wanita adalah potongan yang ideal buat badan mereka.

Mungkin faktor itu jugalah yang mendorong penyediaan koleksi baju kurung Pahang jenama Kelady Apparel yang boleh didapati di Taman Pinggiran USJ, Subang Jaya, Selangor.

Baju kurung Pahang Kelady bukan sahaja dibuat secara eksklusif untuk golongan wanita tetapi mempunyai seni jahitan halus dan corak bervariasi untuk diperagakan ke mana-mana sahaja dengan selesa.

Pengarah Urusan Kelady Apparel, Zakiah Mustafa, berkata, baju kurung Pahang yang dihasilkannya mempunyai corak eksklusif kerana ia dibuat secara terhad.

Zakiah menambah, baju kurung koleksi butiknya selesa dipakai lantaran direka mengikut saiz dan bentuk badan masyarakat Malaysia khususnya wanita Melayu.

“Kita ingin menghasilkan baju kurung yang selesa dan berkualiti kepada para pelanggan. Setiap rekaan Kelady tidak boleh didapati di tempat lain.

“Pemilihan baju kurung Pahang adalah kerana ia bukan sahaja selesa apabila digunakan tetapi mempunyai bentuk menarik dan amat sesuai dengan cita rasa pelanggan hari ini,” katanya.

Zakiah menambah, antara fabrik yang digunakan dalam penghasilan baju kurung Pahang Kelady termasuk sutera Korea, krep sutera, sutera Thailand, sifon, broket kapas, kapas Vietnam dan lain-lain lagi.

Katanya, dia mempelbagaikan jenis fabrik baju kurung Pahang tersebut mengikut kesesuaian pelanggan yang sentiasa inginkan kelainan dalam pakaian mereka.

“Baju kurung Pahang yang dihasilkan Kelady mendapat sambutan menggalakkan sepanjang bulan Ramadan dan musim hari raya.

“Saya berharap ia akan terus menjadi pilihan orang ramai pada masa akan datang kerana harga yang ditawarkan juga berpatutan iaitu RM99 hingga RM199 sepasang,” katanya.

Zakiah merupakan seorang pensyarah kejuruteraan elektrik telah mengambil cuti tanpa gaji selama satu tahun untuk memberi tumpuan kepada perniagaan yang diusahakan pada awal tahun ini.

Peminat seni fesyen itu menjelaskan, dia begitu meminati seni fesyen sehingga ingin mencuba menceburi bidang tersebut sehingga berjaya.

“Selain daripada baju kurung, Kelady Apparel juga menyediakan pakaian wanita moden, baju kurung moden, jubah, tudung, aksesori wanita, beg tangan, kasut dan lain-lain lagi.

“Buat permulaan ini, saya menjual pelbagai jenis pakaian dan aksesori wanita tanpa pengkhususan kerana masih hijau dalam bidang fesyen.

Bagaimanapun, Zakiah memberitahu, dalam masa terdekat ini dia ingin memperkenalkan label jenama Kelady dengan lebih serius.

“Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai produk Kelady boleh melayari laman web www.keladyapparel.com.my,” ujarnya.

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM

Jam tangan skarf Moschino

Koleksi terbaru Moschino Cheap And Chic sempena rekaan musim luruh menampilkan koleksi jam tangan bergaya bersama skarf yang menawan.



Apa yang menarik mengenai jam tangan ini adalah seutas jam tangan yang kelihatan seperti skarf dengan menampilkan ciri-ciri kewanitaan.

Skarf ini diperbuat daripada 100 peratus kain jenis sutera dengan cetakan berwarna-warni yang menampilkan simbol klasik ikonografi Moschino.

Antaranya termasuklah simbol helaian daun serta ikon klasik, simbol jantung Moschino sebagai daya penarik. Manakala permukaan jam pula diperbuat daripada keluli tahan karat berwarna putih dan juga emas.

Bagi yang berani menampilkan fesyen terbaru keluaran jenama dari Itali ini, sudah tentu bertuah kerana koleksi ini turut didatangi dengan koleksi tambahan.

Jam ini turut didatangkan dengan tali jam yang diperbuat daripada kulit dalam dua warna pilihan iaitu hitam dan putih.

Oleh itu, pemilihan jam ini sudah tentu memberikan kelebihan buat anda untuk menghiasi pergelangan tangan dengan skaf mahupun tali kulit.

Dwi pilihan itu memberikan pandangan yang berbeza sama sekali buat pemakai untuk menggayakan jam tersebut bersama apa jua fesyen.

Selain itu, skarf tersebut juga boleh digayakan dengan pelbagai cara antaranya menyimpulkannya sekitar leher dan pergelangan tangan, memakai sebagai cekak rambut, melingkari sebagai tali pinggang ataupun sekadar mengikatnya pada pemegang beg tangan.

Koleksi terbaru ini didatangi dalam lima warna yang menawan iaitu merah, biru, merah jambu, kuning dan hitam yang amat bersesuaian untuk dipadankan dengan fesyen terkini.

Aksesori ini boleh didapati pada harga antara RM475 ke RM550 di semua cawangan Isetan, Parkson, Pavilion, Robinsons dan juga Tangs.

Oleh AHMED SYAHRIL ZULKEPLY

Downtown Coffee & Tea Cafe

Dari pandangan luar, Downtown Coffee & Tea Cafe yang terletak di Medan Niaga Rampai, Wangsa Maju kelihatan saling tidak ubah seperti kafe biasa di ibu kota.

Namun, sebaik saja kaki melangkah ke ruang dalam restoran dua tingkat itu, telahan awal berubah melihatkan suasana susun aturnya yang mirip dekorasi restoran mewah.

Moden, kemas dan penuh gaya. Pastinya menggamit kunjungan malah tidak keterlaluan jika dikatakan lokasinya sesuai untuk mereka yang tercari-cari kafe ekslusif bagi meraikan hari istimewa.



Di Downtown Coffee & Tea Cafe, menu istimewanya adalah siri kopi atau coffee series bersama pilihan makanan tradisi dan moden, yang pasti, semuanya terpulang pada selera anda ketika berkunjung.

Pengurus Besarnya, Azhari Mokhtar, berkata Downtown Coffee & Tea Cafe masih berpegang kepada konsep sebuah kedai kopi namun diolah mengikut cita rasa tersendiri.

“Apa yang penting, walaupun dihias indah, sajian makanan dan minuman di sini dijual bersesuaian harga pasaran malah kebanyakannya dijual di bawah RM10,” katanya.
Dirasmikan Julai lalu, majlis disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob. Hadir sama, Pengarah Urusan Downtown Coffee & Tea Cafe, Richard Liew; Pengarah Eksekutifnya, Sharkawy Hazim Shafie dan dutanya, Datuk Lee Chong Wei.

Kata Azhari, sehingga kini Downtown Coffee & Tea Cafe menyajikan enam jenis kopi yang diadun istimewa antaranya Downtown White Coffee, Heritage Coffee dan Downtown Delight White Coffee.

“Bagi memberikan kelainan kepada peminat kopi sejati, kafe ini akan menambah adunan kopi baru setiap bulan.

“Selain itu, kafe kami juga menawarkan hidangan minuman berkhasiat bagi mereka yang peka mengenai kesihatan antaranya jenis minuman kacang soya atau minuman penyahtoksin,” katanya.

Di Downtown Coffee & Tea Cafe juga, hidangan disajikan terdiri daripada menu popular pilihan masyarakat Melayu, Cina dan Barat seperti char kuey teow, asam laksa, mi kari, nasi ayam Hainan dan pelbagai jenis sup.


Jika tidak berpeluang singgah menikmati secangkir kopi di waktu petang, mungkin set sarapan pada harga istimewa mampu menarik kunjungan anda ke sini.

“Setiap pagi kami menyediakan enam jenis set sarapan hanya pada harga RM4.20 merangkumi makanan dan minuman,” katanya sambil memberitahu kemudahan seperti surau dan Wifi turut tersedia.

Lokasi: Downtown Coffee & Tea Cafe, 2, Jalan Rampai Niaga 4, Medan Niaga Rampai, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Laman web: www.downtowncoffeetea.com

Sony Ericsson XPERIA


XPERIA mini pro dipertingkatkan dengan beberapa aplikasi terbaru yang pasti memuaskan pengguna.


SEKALI imbas kalau diperhatikan tidak banyak perbezaan dapat dilihat antara model Sony Ericsson XPERIA mini dengan XPERIA mini pro.

Namun begitu, sebenarnya model telefon bimbit terbaharu XPERIA mini pro telah dipertingkatkan dengan skrin sentuh bersama papan kekunci QWERTY.

Berbanding model terdahulu peranti kompak ini didatangkan dengan papan kekunci yang mampu memudahkan proses menaip.

Apabila menggunakan papan kekunci ini anda akan mendapati paparan skrin peranti berkenaan akan berada dalam keadaan menegak atau melintang mengikut kesesuaian pengguna.

Walaupun model terbaharu ini menyediakan papan kekunci QWERTY, reka bentuk bersaiz kecil yang ditekankan dalam pembikinannya masih unggul dan memukau pengguna.

Kerangka yang kemas dan kompak menepati cita rasa gaya hidup penggemar peranti serba moden pada hari ini.

Dari segi rakaman pula, XPERIA mini pro dilengkapi kamera lima megapiksel untuk memastikan imej pegun berkualiti dapat dirakam pengguna.

Bagi memudahkan proses rakaman hanya terdapat empat butang utama disediakan iaitu kamera atau kamkoder, galeri, mod scene dan flash.

Pengguna juga boleh menggunakan geo-tagging yang dapat memberi informasi rakaman dilakukan agar kenangan indah dalam kehidupan dapat disemadikan buat selama-lamanya.

Peranti kompak yang menyokong sambungan wayarles WiFi itu juga menghubungkan pengguna dengan alam maya di hujung jari mereka.

Mereka yang gemar berhibur, XPERIA mini pro turut didatangkan bersama radio FM. Dengan menyediakan antara muka yang mudah dikendalikan, pengguna dapat menikmati saluran kegemaran mereka di mana-mana sahaja.

XPERIA mini pro ditawarkan dengan tiga warna ranggi iaitu hitam, merah dan putih, boleh dimiliki pada harga RM1,180.


Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM

Sutera Niaga Elit menawarkan pakej belian eBook




Selepas bertahun-tahun isu beg sekolah berat menjadi perdebatan hangat dengan pelbagai resolusi dicadangkan belum ada penamatnya, apa yang telah dirintis oleh kerajaan Terengganu sejak tiga tahun lalu mungkin adalah jawapan terbaik.

Kerajaan Terengganu menyediakan komputer riba buku elektronik (eBook) percuma kepada pelajar sekolah rendah bagi menggantikan buku teks menjadikan mereka sebagai kumpulan eksperimental paling muda menggunakan teknologi terkini pembelajaran di sekolah.

Tanpa perlu membawa beg berat mahupun merugikan penggunaan kertas, pengenalan eBook seharusnya diakui sebagai satu inovasi dan lembaran baru dalam pendidikan negara. Sehingga kini dengan sistem pembelajaran yang dilihat semakin lancar, pelajar tahun 4, 5 dan 6 di Terengganu menggunakan sepenuhnya kecanggihan teknologi itu.

Selain Terengganu, beberapa negeri seperti Melaka, Sarawak dan Brunei sudah pun memasang impian untuk menggunakan inovasi eBook di negeri masing-masing bagi memudahkan pelajar.

Penggunaan eBook yang semakin mendapat perhatian pelajar dan ibu bapa dijangka mampu menjadi revolusi dalam pendidikan negara.


PENGGUNAAN eBook di sekolah membuka lembaran baru dalam revolusi pendidikan negara.


Dengan permintaan yang semakin meningkat apabila ada ibu bapa yang tidak mahu terus menunggu atau mahukan anak-anak mereka turut memanfaatkan diri menggunakan teknologi eBook, Sutera Niaga Elit Sdn. Bhd. sedia menjual eBook secara komersial.

eBook model 2011

Pengurus Besarnya, Mohd. Rozali Masdol memberitahu, selaku ejen pemasaran dan pengedaran produk di bawah Koperasi Angkat Sekolah pihaknya turut melebarkan sayap ke seluruh negeri termasuk Brunei, memandangkan eBook mempunyai potensi yang tinggi dari aspek teknologi pendidikan.

Beliau yang ditemui di pejabat Kosmo! memberitahu, eBook terbaharu model 2011 lebih komprehensif dan canggih apabila ia didatangkan dengan pelbagai perisian yang dapat memanfaatkan pelajar dan guru. Peranti terkini itu juga boleh digunakan ibu bapa dengan mudah dan selesa.

“Dengan berat hanya 1.2 kilogram (kg) berbanding model terdahulu iaitu kira-kira 1.6 kg, model terbaharu ini dijangka mampu memberi keselesaan kepada pelajar yang dibebani buku teks berat, malah ia boleh di bawa ke mana-mana sahaja dengan mudah.

“Selain itu, eBook model 2011 yang menggunakan teknologi Intel Corp. mempunyai reka bentuk lebih menarik bersesuaian dengan gaya hidup pelajar serba canggih hari ini. Peranti generasi ketiga ini dilengkapi perisian buku teks tahun 4, 5 dan 6 untuk memastikan pelajar dapat mengikuti kelas dengan pantas,” katanya.
Mohd. Rozali menambah, eBook model 2011 turut didatangkan dengan perisian jaringan komuniti seperti al-Quran, fardu ain, amalan solat dan kamus. Malah, ia bukan sahaja boleh digunakan pelajar-pelajar, tetapi ibu bapa dapat menikmati kemudahan yang ditawarkan dalam peranti tersebut.


ISU beg sekolah yang terlalu berat sehingga menjejaskan kesihatan pelajar dapat diselesaikan dengan penggunaan eBook di dalam kelas.


Katanya, perisian jaringan komuniti yang ditawarkan dalam peranti terbaharu itu dapat mendekatkan lagi pelajar dengan ibu bapa mereka apabila menggunakannya.

“Sebagai contoh, perisian al-Quran yang disediakan turut mengandungi sistem audio untuk membantu pelajar mengikuti pengajaran dengan lebih mudah dan sistematik. Bahkan, pelajar dapat mengetahui maknanya apabila tafsiran turut disediakan kepada mereka.

“Perisian ini boleh mengeratkan lagi perhubungan kekeluargaan kerana ibu bapa juga boleh mengaji bersama anak-anak mereka apabila mempunyai masa lapang di rumah. Selain mengaji al-Quran, mereka boleh mengetahui mengenai cara-cara mengambil wuduk, tayamum, solat, surah hafazan dan lain-lain lagi yang terdapat dalam peranti berkenaan,” ujarnya lagi.

Dengan menggunakan peranti berkenaan, Mohd. Rozali menambah, pelajar-pelajar akan merasai pengalaman baru dalam dunia pendidikan kerana hampir kesemua perisian yang terkandung dalam eBook tersebut adalah interaktif.

Katanya, eBook terbaharu yang mempunyai paparan 10 inci dengan kerangka tahan lasak turut didatangkan dengan kamera web untuk memudahkan lagi pelajar-pelajar berhubung antara satu sama lain.
“eBook untuk pasaran umum ini akan muncul dengan versi baru lebih menarik yang juga dilengkapi Intel Pineview M Atom Procesesor 45nm, FCBGA, single core N455 hingga 1.66GHz (512 KB L2 Cache), 533 FSB LCD 10.1 dengan 1024x600(antisilau) dan perisian Window 7. Ia dijangka akan berada di pasaran pada bulan Oktober ini,” ujarnya.

PELAJAR sehingga hari ini masih bergantung kepada buku teks sebagai rujukan utama dalam pembelajaran di kelas.


Ditanya mengenai kawalan dan pemantauan yang boleh dilakukan ibu bapa sekiranya eBook disalah guna oleh pelajar, Mohd. Rozali berkata, eBook telah dilengkapi perisian yang mempunyai kebolehan menyekat kanak-kanak atau pelajar daripada melayari laman web tertentu.

“Kemudahan ini disediakan untuk memastikan ibu bapa dapat memantau anak- anak mereka daripada melayari laman web yang tidak diingini. Selain itu, kita juga ada menyediakan perisian berkebolehan membantu ibu bapa merujuk kembali laman dilayari anak mereka. Jika ibu bapa mahu melayari laman web, mereka akan diberi kata kunci khas,” katanya merujuk kepada laman web seperti You Tube.

Sehingga kini, seramai 75,000 pelajar telah memanfaatkan kemudahan ini di Terengganu dan pendekatan itu mendapat minat khas daripada ibu bapa dipercayai menyumbang kepada penjualan komersial eBook kepada mereka.

Bahkan, eBook model 2011 juga akan dimanfaatkan oleh pelajar sekolah menengah hingga tingkatan 5.
“Bagi proses pembelian eBook, kami menyediakan dua pilihan kepada pengguna iaitu ansuran atau tunai melalui dua kategori pembeli iaitu kakitangan kerajaan dan swasta. Bagi bayaran ansuran kakitangan kerajaan, mereka boleh mengisi borang yang disediakan oleh syarikat kami untuk pemotongan gaji majikan kakitangan biro Angkasa.



“Bagi kakitangan swasta pula, ia boleh diuruskan melalui potongan gaji bank. Pilihan ini ditawarkan adalah untuk memudahkan lagi pengguna mendapatkan eBook terbaharu ini,” ujarnya.
Jelasnya, penjualan eBook juga menitik berat soal rangkaian dan sosial seperti penjual berhubung balik dengan ibu bapa jika terdapat masalah selain masalah penyelengaraan, rosak, terkena cecair atau pecah.

“Untuk itu, kami sediakan satu sistem jualan supaya pihak yang menjual selain Syarikat Sutera Niaga Elit mendapat komisen dan mempunyai hubungan baik dengan pembeli,” terang beliau.
Mohd. Rozali berkata Syarikat Sutera Elit Niaga percaya dengan kadar permintaan yang kian meningkat pihaknya dapat mencapai sasaran jualan sebanyak 90,000 unit eBook pada tahun ini dan 300,000 unit eBook pada tahun hadapan.

Sutera Niaga Elit menawarkan pakej belian eBook pada harga RM2,988 yang turut menawarkan jalur lebar Celcom percuma selama setahun selain langganan Tutor Utusan.
Pihaknya juga bersedia memasukkan portal-portal pendidikan yang lain seperti yang diminta ibu bapa pada harga maksimum RM2,988.

Untuk maklumat lanjut tentang urusan jual beli atau maklumat lanjut, sila hubungi Rozali di talian 019-7176 869 atau Nacoji Holdings di Taman Miharja, Kuala Lumpur.

Oleh NIZHA PERIASAMY dan NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM

Semak status peraduan

Apakah hukum asas dalam menyertai peraduan yang diadakan sama ada menerusi media massa atau pihak lain?

RAZALI: Secara asasnya, hukum asal bagi pertandingan dan peraduan adalah harus. Para ulama fiqh telah sepakat menyatakan hukum ini. Antaranya al- Kasani, Ibn Qudamah menyatakan dalam kitab- kitab kerangan mereka.

Para ulama ini berhujah dengan firman Allah SWT yang maksudnya: dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh Yang menceroboh) Segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh Yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya, dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya. (al-Anfal: 60)

Ketika menghuraikan ayat ini, Imam al- Mawardi telah menyatakan arahan menyediakan kekuatan untuk berperang tidak akan sempurna melainkan dengan adanya latihan dan pertandingan.

Oleh yang demikian, secara umumnya, pertandingan adalah suatu yang harus dan dibenarkan oleh agama selagi tidak bercanggah dengan prinsip asas Islam.

Syarat-syarat yang saya maksudkan adalah antaranya seperti berikut:


a) Peraduan tersebut mestilah peraduan yang bermanfaat contohnya menguji minda, peraduan yang mengajak orang ramai cintakan ilmu dan sebagainya.

b) Peraduan tersebut mestilah tidak membawa kepada kelekaan contohnya sehinggakan meninggalkan perintah wajib iaitu solat dan seumpamanya

c) Peraduan tersebut mestilah tidak boleh mempunyai sebarang unsur judi dan bertenung nasib.

Dalam ayat 90 surah al-Maidah, Allah mengharamkan judi dan mengundi nasib. Soalnya, apakah unsur-unsur yang membawa kepada judi dan bertenung nasib dalam peraduan yang perlu dielakkan?

RAZALI: Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, hukum asal bagi peraduan ataupun pertandingan adalah diharuskan dalam Islam. Walaubagaimanapun keharusan ini diikat dengan syarat-syarat yang tertentu iaitu mestilah tidak mengandungi apa jua elemen yang bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam.

Jika peraduan tersebut mempunyai unsur perjudian dan mengundi nasib maka secara automatik hukumnya adalah haram. Oleh yang demikian, unsur judi dan tenung nasib inilah yang perlu dielakkan dalam sebarang peraduan yang mahu dianjurkan.

Persoalannya, bagaimana kita boleh mengenal pasti sesuatu peraduan tersebut mengandungi unsur judi atau tidak? Suka saya merujuk Garis Panduan Peraduan Berasaskan Hadiah, Jakim yang telah diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam sidangnya kali ke- 84 bertarikh 15 Disember 2008.

Perkara 6.1 (i)

a) Penganjur tidak boleh mengenakan apa- apa caj atau yuran kepada peserta sebagai bayaran pendaftaran untuk menyertai peraduan yang dianjurkan bagi mengelakkan wujudnya unsur- unsur perjudian dan pertaruhan.

Ulasan: Maknanya sebarang peraduan yang mengenakan caj sebagai bayaran pendaftaran sebagai syarat untuk menyertai peraduan adalah mengandungi unsur pertaruhan dan judi. Peraduan seumpama ini mesti dielakkan.

Perkara 6.1 (ii)

b) Tiada sebarang caj tambahan boleh dikenakan kepada peserta peraduan contohnya caj kos pengurusan, caj ke atas setiap set soalan peraduan dan seumpamanya.

Ulasan: Maknanya sebarang peraduan yang mengenakan caj tambahan kepada peserta contohnya untuk mendapatkan soalan peraduan mesti membayar sejumlah wang terlebih dahulu sebagai syarat, maka kaedah ini juga mempunyai unsur judi yang mesti dielakkan.

Perkara 6.1 (iii)

c) Jika peraduan dianjurkan melalui telefon dan seumpamanya, pihak penganjur tidak boleh menaikkan caj perbualan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada caj semasa bagi mengelakkan wujudnya unsur perjudian.

Ulasan: Mana-mana peraduan menerusi SMS atau memerlukan untuk membuat panggilan telefon contohnya peraduan melalui radio atau TV, di mana penganjur menaikkan kadar caj semasa SMS atau telefon tersebut, maka ini juga mempunyai unsur judi yang diharamkan oleh agama.

Pendapatan lumayan dengan Nuffnang

Cakap sahaja Nuffnang, mustahil jenama komuniti pengiklanan blog itu tidak dikenali oleh blogger-blogger di seluruh Malaysia. Tidak hairan juga, jenama itu amat dikenali di negara-negara jiran terutama Singapura, Australia dan Filipina.



Sumbangan Nuffnang amat besar buat komuniti blogger yang menjadikan jenama itu sebagai platform untuk menjana pendapatan sampingan yang lumayan. Tidak keterlaluan jika dikatakan pendapatan yang diperoleh daripada Nuffnang adakalanya melebihi pendapatan pekerjaan tetap.

Iklan-iklan daripada Nuffnang yang merupakan komuniti pengiklanan blog pertama Asia Pasifik kini boleh dilihat di lebih 100,000 buah blog oleh lebih tiga juta orang setiap hari.

Ia membenarkan pengiklan untuk memaparkan iklan grafik dan video di blog-blog dalam pelbagai genre. Kejayaan Nuffnang kini dapat dilihat melalui pembangunan pejabatnya di empat buah negara iaitu Malaysia, Singapura, Filipina dan Australia.

Menarik tentang syarikat Nuffnang Sdn. Bhd. yang terletak di Kuala Lumpur, ia diteraju jejaka yang baru berusia 26 tahun. Timothy Tiah, sebagai pengarah urusan, turut meneraju cawangan Nuffnang bersama pengasas bersama, Cheo Ming Shen yang kini menguruskan pejabat di Singapura.

Menurut Timothy, blogger mampu menjana pendapatan lumayan berdasarkan jumlah pelawat blog. Semakin tinggi jumlah pelawat semakin tinggi pendapatan sehingga mampu mencapai puluhan ribu ringgit dalam masa sebulan.

"Kami menguruskan iklan-iklan yang akan dipaparkan dalam blog yang berdaftar tanpa mengenakan bayaran kepada blogger. Blogger hanya perlu menjalankan kerja editorial untuk iklan masing-masing bagi menjana pendapatan.

"Selain itu, kami juga menganjurkan majlis-majlis untuk blogger seperti tayangan filem, seminar, bengkel, parti dan sebagainya untuk merapatkan hubungan sesama komuniti blogger di bawah Nuffnang," katanya.

Menceritakan kewujudkan Nuffnang, Timothy memberitahu idea itu timbul di London ketika dia dan Ming Shen berbual mengenai pelan perniagaan mereka apabila pulang ke tanah air. Kedua-dua mereka adalah pelajar jurusan perniagaan dan bermula sebagai blogger.

"Kami berbincang mengenai perniagaan yang ingin kami jalankan selepas pulang ke Malaysia dan Singapura. Kemudian timbul idea untuk berkolaborasi mewujudkan Nuffnang selepas mempertimbangkan populariti blog yang semakin meningkat.

"Kami melakukan sesuatu yang belum pernah dilakukan oleh orang lain dan ia mendapat sambutan yang memberangsangkan hanya selepas beberapa tahun syarikat itu ditubuhkan," katanya mengenai syarikat itu yang memulakan pejabat pertamanya di Pulau Pinang pada tahun 2006.

Katanya, pada akhir tahun pertama Nuffnang ditubuhkan iaitu pada tahun 2007 mereka berjaya mengumpulkan sebanyak 7,523 orang blogger dan ia meningkat kepada 30,708 pada tahun 2008. Tahun 2009 pula jumlahnya meningkat kepada 68,455 orang, manakala sehingga Ogos lalu jumlahnya ialah 105,464 orang blogger.

"Komuniti blogger Nuffnang meningkat dengan pantas dan ini menunjukkan blog menjadi medium pengiklanan yang mendapat sambutan hangat daripada klien pengiklan. Ia menjadi pilihan baru selain medium utama iaitu media cetak dan elektronik.

"Bagaimanapun, untuk berjaya sebagai blogger yang berpendapatan tinggi, seseorang itu mestilah bekerja keras dan mewujudkan blog atas sebab yang betul. Ini kerana sekiranya blog diwujudkan semata-mata untuk mencari keuntungan, ia tidak akan berjaya," katanya.

Keahlian Kelab Ibu Dutch Lady

Sebagai penghargaan kepada para ibu yang memilih jenama susu Dutch Lady iaitu Susu Untuk Membesar 123, 456 dan enam tahun ke atas, peneraju produk tenusu Malaysia, Dutch Lady Milk Industries telah melancarkan sebuah kelab baru-baru ini.

Dutch Lady Moms Club merupakan sebuah program keahlian baru khas untuk wanita bergelar ibu yang menjadikan susu jenama itu sebagai sumber nutrisi penting bagi anak-anak mereka.

"Produk Dutch Lady merupakan satu jenama yang sudah lama dipercayai oleh ibu-ibu sebagai sumber nutrisi utama yang diperlukan oleh si manja mereka.

"Dengan penubuhan Dutch Lady Moms Club, kami meraikan kasih sayang dan keprihatinan ibu-ibu terhadap anak-anak mereka dengan memberikan pelbagai mata ganjaran," kata Pengarah Pemasaran Dutch Lady Malaysia, Rahul Colaco.

Kelab itu menjanjikan pelbagai manfaat sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen para ibu dalam memberikan sesuatu yang terbaik kepada anak-anak mereka.

Ibu-ibu yang menjadi ahli dapat menebus mata ganjaran bagi meraih hadiah menarik seperti barangan premium Disney atau Ben 10 mahupun hadiah bagi keperluan si ibu sendiri.

Ahli-ahli kelab itu juga akan menerima majalah berita sendiri dan boleh melayari laman web yang mengandungi maklumat mengenai keperluan nutrisi penting, resipi pemakanan seimbang mengikut umur, nasihat tentang penjagaan anak, imuniti dan lain-lain lagi.

Laman web itu juga mengandungi pelan harian interaktif bagi si ibu untuk merakam saat-saat manis bersama anak-anak mereka.

PRODUK Dutch Lady merupakan satu jenama yang dipercayai sejak dahulu.

Selain itu, maklumat berguna mengenai ibu hamil turut dimuatkan dalam laman tersebut bagi melengkapkan mereka dengan informasi terkini sepanjang proses tersebut.

Sempena pelancaran Dutch Lady Moms Club itu juga, Dutch Lady Malaysia menawarkan ganjaran kepada semua ahli yang mendaftar sehingga 30 September 2010.

Dengan setiap penyertaan dalam tempoh tersebut, ahli-ahli akan mendapat dwi mata ganjaran dan berpeluang memenangi Proton Exora baru.

Sementara itu, penyertaan yang ke-100 akan menerima baucar membeli-belah bernilai RM50 yang boleh digunakan untuk membeli Susu Cair Dutch Lady, produk sejuk Dutch Lady atau Susu Tepung Dutch Lady 123, 456, 6 tahun ke atas dan sebagainya.

Borang penyertaan boleh didapati dengan mudah di kedai-kedai yang terpilih dan melalui laman web www.dutchlady.com.my. Setiap penyertaan mesti disertakan dengan potongan kod bar yang terdapat pada setiap pek Susu Untuk Membesar Dutch Lady.

Hari ini, Susu Untuk Membesar Dutch Lady adalah satu rumusan unik TT-Ratio Advance yang mengandungi asid amino penting seperti tirosina dan tryptophan dan diperbaharui dengan sumber karbohidrat, vitamin B (B1, B2, B6 & B12), DHA, AA, SA, taurina, kolin, omega 3 dan omega 6.

Formula yang diperbaharui membekalkan nutrisi yang boleh membantu penyerapan yang lebih baik dan pemprosesan maklumat bagi pembelajaran yang lebih berkesan.

Untuk maklumat lanjut tentang Dutch Lady Moms Club, sila layari www.dutchlady.com.my.

Sertai Peraduan Gerbang Cinta

Gerbang Cinta

Menyediakan persiapan untuk mengadakan sebuah majlis perkahwinan bukan kerja mudah lebih-lebih lagi apabila ada kekangan dari segi kewangan.

Tetapi sudah tentu segalanya akan jadi senang apabila ada pihak-pihak yang sedia berkongsi beban dengan menaja majlis yang diimpikan.

Tuah itu pernah jadi milik tiga pemenang utama Peraduan Gerbang Cinta Mega Utusan Malaysia musim pertama iaitu Mohd. Afandi Mohd. Isa dan isteri, Nurfairuz Aina Mohd. Kohar; Md. Izudin Salleh dan Qistina Mohd. Nazri; serta Rizai Ali dan Ainul Farha Ramli.

Bukan setakat dapat merealisasikan impian untuk berumah tangga lebih awal daripada jangkaan malah paling penting memperoleh majlis perkahwinan yang ditaja hampir sepenuhnya.

Bagi Mohd. Afandi yang diijabkabulkan pada 23 Januari lalu, menjuarai Peraduan Gerbang Cinta musim pertama adalah kenangan paling manis yang sukar dilupakan.

''Peraduan tersebut banyak membantu saya merealisasikan impian untuk berumah tangga.

"Saya rasa ia memberi cara penyelesaian yang mudah kepada pasangan muda yang ingin berkahwin lebih-lebih lagi sekarang ini kos untuk mengadakan majlis perkahwinan semakin meningkat," katanya yang sedang menanti kelahiran cahaya mata pertama.

Kata Mohd. Afandi melalui Peraduan Gerbang Cinta ini, bakal pengantin tidak perlu bersusah payah memikirkan persiapan yang perlu dilakukan kerana mereka hanya perlu 'membawa diri' dan selebihnya diuruskan oleh pihak penaja.

Sementara itu, bagi pemenang tempat ketiga, Ainul Farha pula menyifatkan Peraduan Gerbang Cinta ini sebagai satu usaha murni yang menyatukan dua insan melalui ikatan perkahwinan.

''Melalui peraduan ini juga, memberi peluang kepada pasangan muda yang ingin mendirikan rumahtangga tetapi mempunyai kos yang mencukupi.

''Program ini juga membantu pasangan yang merancang untuk berkahwin membina sebuah rumah tangga yang lebih sempurna," katanya.

Sementara itu Peraduan Gerbang Cinta Musim Kedua menawarkan hadiah lebih lumayan termasuk pakej perkahwinan bernilai lebih daripada RM300,000.

Peraduan yang sedang berlangsung bermula 4 Ogos lalu hingga 9 Oktober ini terbuka kepada semua pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga.

Untuk keterangan lanjut boleh hubungi Dino atau Liyana di talian 03-92210202 /0203.

Oleh ZUHAYATI YAZID

Alamak - Ketawa dan jom ke Bali

KETAWA dan makan angin. Itulah peluang yang ditawarkan kepada penonton musim kedua siri komedi Alamak.

Mereka yang bernasib baik mampu memenangi hadiah percutian ke Bali, Indonesia.

Siri itu dibintangi Zaid, Jeff, Pak Ya dan Badrol serta penampilan pelakon jemputan seperti Pian Cecupak, Azura Zainal, Mazin Siraj dan M Subash. Program komedi terbitan Ritz Channel itu ke udara sebanyak 26 episod termasuk dua episod khas hari raya yang dibuat bersama Datuk Aziz Sattar dan model jelita dari Pulau Pinang.

Antara sketsa terbaru ialah Restoran Mamak. Badrol mahu memakan telur. Selepas pekerja membawa telur mata kerbau, dia menolak dan meminta telur lain.

Kemudian pekerja itu membawa telur dadar namun Badrol masih enggan memakannya. Perkara itu menimbulkan kemarahan dan akhirnya dia membawa telur yang membuat si Badrol sendiri terperanjat!

Segmen Tamil, Interview Bollywoooood menemukan pengacaranya, PK Raj dan si gemuk buta, Shree. Mereka mengendalikan temuramah mengenai isu semasa yang mencuit hati.

Tidak ketinggalan gelagat Doktor 80-an yang menampilkan Doktor Sewel, Dr Monti dan Dr Logi. Kali ini, sambil membaca carta klinik, mereka memberi laporan mengenai status pembedahan yang bakal dihadapi oleh Zaid.

Dalam kisah hantu berusia 200 tahun yang menetap di istana berpuaka, Drakula semakin mengganas. Dari episod pertama sampailah sekarang, dia tidak berjaya menghisap darah mangsanya. Kali ini, dia makin bersemangat. Berjayakah Drakula?

Artis jemputan, Mazin Siraj dari Sehati Berdansa akan turut muncul di kedai jual keretanya. Aziz Sattar pula membuat penampilan bersama tiga pelajarnya dalam 'tribute' kepada filem Pendekar Bujang Lapok.

Pelakon, penulis skrip, pengarah dan penerbitnya, Zaid Zahari memberitahu dia melihat program komedi berkenaan mampu ditayangkan di layar perak berdasarkan sambutan menggalakkan daripada penonton.

"Saya bersyukur kerana sokongan kuat yang diberikan kepada penonton menjadikannya antara program komedi popular tanah air.

"Penonton juga sudah menerima dan memahami lawak yang disampaikan oleh barisan pelakon yang terbabit secara tidak langsung ini sebagai penanda aras buat pihak penerbitan untuk menghasilkan karya yang bermutu pada masa depan," katanya.

Sebarang pertanyaan dan komen mengenai setiap rancangan sila layari laman web www.alamaktv.com.

Selera India Utara di Naan Corner

Berbuka di hotel semestinya meriah dengan pelbagai hidangan eksklusif namun harga yang perlu dibayar untuk satu sesi berbuka puasa bersama keluarga boleh mencecah RM500.



Jika itu jumlahnya, ia bukan harga yang mampu dibayar oleh kebanyakan kita apatah lagi bagi yang berpendapatan sederhana. Namun tidak dinafikan, berbuka secara bufet kini menjadi sebahagian daripada gaya hidup kota.

Bagi memenuhi kehendak berbuka puasa, Naan Corner yang beroperasi di Ampang Jaya menawarkan pelbagai cita rasa makanan melalui hidangan bufet di premis yang berkonsepkan gerai lima bintang.

Pemilik generasi keduanya, Shatina Parwiz Kausar, 27, berkata, sajian berbuka puasa yang diadakan setiap tahun memberi peluang kepada rakyat negara ini menikmati sajian ala-hotel pada harga lebih murah.

"Kita bukan sahaja menyediakan makanan yang baik tetapi mempunyai suasana bersih dan selesa," ujarnya yang mengambil alih perniagaan bapa beliau beberapa tahun lalu.

Sepanjang puasa, Naan Corner menawarkan lebih daripada 40 jenis makanan yang disediakan secara bufet di restoran yang mampu memuatkan 200 orang itu.

Antara yang dihidang kepada pelanggan termasuk makanan laut seperti ikan pari, siakap, udang dan ketam yang dimasak asam pedas, mentega dan bakar.

Hidangan bufet ditawarkan pada harga RM24.99 untuk dewasa manakala RM12.99 (kanak-kanak). Harga tidak termasuk minuman buah-buahan yang disediakan dalam tiga saiz gelas berharga RM10.

Antara yang menarik adalah air couple iaitu jus tembikai gelas besar yang diisi penuh dengan satu tin laici. Sajian bufet juga diserikan dengan susunan kuih-muih moden dan tradisional.



Sementara itu, Shatina yang dibantu suami, Mohamad Fareedz Mohamad Nor, 27, berkata, keselesaan berbuka di gerai lima bintang itu juga disokong oleh faktor persekitaran dan kemudahan asas.

Berbeza dengan kebanyakan gerai, makanan di Naan Corner dihidangkan dalam pinggan dan gelas kaca, set meja dan kerusi makannya beralas bahkan jel pencuci tangan juga disediakan dalam beberapa botol berperisa.

Naan Corner boleh dihubungi ditalian 019-6435252.


Oleh ABD. HALIM HADI