www.mycouture.com.my perniagaan busana muslimah Rozita Che Wan

Rozita Che Wan kini mengusahakan perniagaan busana muslimah secara online.

Telah pun mula beroperasi sejak tahun lalu, My Couture, merupakan taruhan utama Rozita Che Wan untuk mengembangkan minat serta kesungguhannya dalam bidang perniagaan.

"Kami menjual pakaian muslimah seperti jubah, selendang, tudung secara online menerusi website www.mycouture.com.my sejak tahun lalu. Saya menjalankan perniagaan ini bersama rakan baik saya Hanim Shahrom yang mempunyai pengalaman dalam bidang pemasaran lebih 20 tahun.

"Kami jual secara online dan pukal. Namun, bagi yang berminat mahu membeli dalam kuantiti yang sedikit mereka boleh pergi ke bengkel kami di Shah Alam," katanya kepada murai.com.my.

Meskipun tanpa promosi yang besar, jelas ibu kepada dua cahaya mata ini, dia amat berbangga apabila tempahan barangannya semakin mendapat sambutan yang mengalakkan.

"Alhamdulillah, tanpa promosi yang besar-besaran, barangan kami mendapat sambutan yang mengalakkan. Menerusi website butik ini, kami telah menerima tempahan dari beberapa negara termasuklah Dubai, United Kingdom dan Singapura," katanya penuh teruja.

Ditanya mengapa busana muslimah menjadi pilihannya sedangkan pelbagai lagi fesyen wanita yang boleh dipilih, kata bekas pramugari ini, perkembangan dan permintaan yang tinggi terhadap produk itu mendorongnya untuk memilih barangan tersebut.


"Boleh dikatakan sekarang 80 peratus wanita berimej muslimah dan ianya juga merupakan trend masa kini. Itu antara sebab mengapa kami memilih untuk memasarkan produk sedemikian untuk perniagaan kami," jelasnya.

Berhasrat untuk membuka butik serta menjualnya secara langsung kepada orang ramai, jelas Rozita, kekurangan tenaga kerja adalah antara sebab mengapa perancangan tersebut terbantut serta tidak dapat direalisasikan.

"Sebenarnya kami tak cukup kaki tangan. Kalau boleh, memang kami mahu membuka butik untuk orang ramai datang membeli secara langsung. Tunggulah nanti. Apabila segalanya selesai, Insya Allah hasrat tersebut akan dipenuhi," tuturnya.