Produk kecantikan kulit muka 'Nurfarhan'

Farhan AF4 telah pun lama bergelar usahawan muda dengan menghasilkan produk kecantikan kulit muka yang dinamakan sebagai 'Nurfarhan'.

"Alhamdulillah, sudah 6 tahun saya bertindak selaku salah seorang pengarah dalam syarikat G-Biotech Sdn.Bhd. Produk yang kami hasilkan merangkumi set penjagaan muka dan badan.

"Set penjagaan muka itu dinamakan sebagai NurFarhan manakala set untuk penjagaan badan pula dikenali sebagai Candle Spa. Sebenarnya produk ini memang masih belum ada di pasaran tempatan tetapi ia telah pun dipasarkan di pasaran Eropah.

"Kini kami sedang mengintai peluang di Timur Tengah. Selepas itu barulah, kami akan pasarkan di pasaran tempatan," katanya kepada murai.com.my bercerita mengenai perkembangan terbarunya.

Jelas Farhan AF4 , kelebihan produknya berbanding yang lain adalah ianya dihasilkan menerusi bahan organik.

"Kita semua tahu selalu produk kecantikan yang ada di pasaran ketika ini kebanyakannya menggunakan bahan kimia, tapi produk kami lebih banyak berasaskan bahan organik dan bahan hijau. Bersesuaian dengan kulit masyarakat kita sebagi orang Asia. Antaranya ialah produk memutih serum, memutih sebum dan banyak lagi," katanya dengan penuh yakin.

Bertanya mengapa produknya tidak dipasarkan di pasaran tempatan sebaliknya selesa memilih pasaran luar sebagai lokasi perniagaan, wanita berusia 27 tahun ini mejelaskan, semuanya itu dilakukan bersebab.

"Kita sedia maklum masyarakat kita bukan senang nak menerima sesuatu produk baru. Jadi, lebih baiklah ianya dipasarkan di pasaran luar dahulu. Kemudiannya barulah kita akan pasarkan di pasaran tempatan.

"Malah lebih membanggakan saya, produk kami telah pun menerima anugerah produk inovasi daripada pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Saya amat berharap ini semua akan membangkitkan kepercayaan masyarakat tempatan pada produk kami," jelasnya yang melakukan segalanya untuk masa depannya.

Selain produk kecantikan, Farhan AF4 juga turut terlibat dalam perniagaan keluarganya yang telah mengeluarkan hasil agricultural. Antaranya ialah seperti baja, baju organik dan banyak lagi.