Tambang Serendah RM0.01 dari Firefly

Syarikat penerbangan komuniti, FlyFirefly Sdn. Bhd. (Firefly) telah pun melancarkan pesawat Boeing 737-400 di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail, Senai, Johor, pada Mac lalu. Dengan pelancaran ini, Firefly memperluaskan operasinya ke Sabah dan Sarawak selain pertambahan laluan serantau.


Bermula 19 Mei depan, terdapat dua penerbangan sehari dari Johor Bahru ke Kuching iaitu pada jam 7.30 pagi dan 6.35 petang. Untuk perjalanan dari Kuching ke Johor Bahru pula ia dijadualkan pada jam 9.25 pagi 8.30 malam.

Manakala bermula 16 Jun, syarikat penerbangan ini menyediakan dua penerbangan sehari dari Johor Bahru ke Kota Kinabalu. Penerbangan pertama pada jam 7.00 pagi dan yang kedua pada 5.00 petang. Dari Kota Kinabalu ke Johor Bahru pada jam 12 tengahari dan 10 malam.

Tambang yang dikenakan untuk kedua-dua perjalanan ini bergantung kepada promosi semasa dan ia bermula serendah RM48.90 sehala untuk perjalanan ke Kuching. Paling sukar dilepaskan, tambang serendah RM0.01 dari Kuching ke Johor Bahru.

Untuk perjalanan ke Kota Kinabalu, tambang bermula pada harga RM98.95 dan dari Kota Kinabalu ke Johor Bahru bermula pada RM58.95.

Selain itu, sempena cuti sekolah pada penghujung Mei nanti, Firefly akan menyediakan penerbangan tambahan antara Johor Bahru, Langkawi dan Pulau Pinang.