Samsung Galaxy Mini

Persaingan antara telefon bimbit kini semakin sengit dengan kemunculan pelbagai smartphone yang berteknologi tinggi. Namun ini tidak bermakna pengguna telefon bimbit jenis mid-end akan diketepikan sama sekali. Justeru, Samsung telah mengambil inisiatif ini untuk memperkenalkan Samsung Galaxy Mini S5570.

Apabila mendengar nama 'Mini', pasti kita terbayangkan gajet yang sudah tentu tidak mampu bersaing dengan gajet yang lebih hebat dan berteknologi tinggi. Namun, Samsung Galaxy Mini ini tidak diharus dipandang rendah kerana ia mampu 'berdiri dengan sendirinya'.

Jadi apa kelebihan Galaxy Mini sebenarnya? Diumumkan pada Januari 2011 dan mula menembusi pasaran pada Febuari, Galaxy Mini hadir bersama OS Android, 2.2 Froyo (dengan TouchWiz v3.0 UI), skrin sesentuh bersaiz 3.14 inci (TFT 256k warna), kamera utama 3.15MP dan slot kad memori mikroSD.

Kedengaran biasa tapi Galaxy Mini sebenarnya boleh melakukan apa sahaja boleh dilakukan dengan Galaxy S, smartphone utama Samsung yang menguasai pasaran sekarang. Cuma, Galaxy Mini tidak direka untuk mencapai kepenggunaan maksimum sebaliknya ia disasarkan untuk pengguna menikmati kemudahan yang ada pada telefon yang lebih superior.

Dari segi rekabentuk, Galaxy Mini kelihatan simple dan mudah dipegang. Kelihatan menarik dan segar terutama warna hijau lemon yang menghiasi sisinya. Permukaan skrin dan tahap kecerahannya juga baik. Tiada masalah menggunakan Galaxy Mini di bawah sinaran matahari. Skrinnya masih jelas kelihatan. Sensitiviti di permukaan sesentuhnya juga tidak mengandungi masalah, tidak terlalu sensitif serta tidak terlalu statik.


User interface, menggunakan Android 2.2 Froyo. Jadi pengguna yang telah biasa dengan telefon Android tentu dengan sekali imbas sudah mahir menggunakannya. Pengguna baru, tiada masalah. Galaxy Mini adalah sebuah telefon yang mesra pengguna dan anda tidak akan mengambil masa yang lama untuk mengetahui semua fungsi dan aplikasi yang ada dalam telefon ini. Interface menunya mudah dan anda boleh memilih tetapan sendiri serta pilihan yang mana ingin anda utamakan diruangan menu.

Galaxy Mini boleh memainkan format video 3GP dan MP4, namun tidak seperti telefon high end lain, tidak menyokong format HD. Aplikasi muzik pula mendapat sentuhan TouchWiz UI. Interface aplikasi yang berwarna warni ditambah kualiti audio yang mantap, menjadikan Galaxy Mini mempunyai kelebihannya sendiri.

Fungsi kamera bagaimanapun tidak mencapai tahap yang boleh dibanggakan. Mungkin kerana tiadanya fungsi flash dan shutter. Cuma kehadiran interface kamera yang menarik mampu mengalih perhatian dari kekurangan sebelum ini. Dengan seleksi pilihan yang ada untuk menetapkan tahap kecerahan dan suntingan yang ada, kualiti gambar nyata mampu memberi kepuasan tersendiri.

Fungsi melayari internet, tidak mampu dipertikaikan kerana ia adalah Android, salah satu browser telefon bimbit yang terbaik ketika ini. Pantas dan senang digunakan. Masalah yang timbul pula, ialah tiadanya fungsi flash. Ini sedikit sebanyak akan memberi kesan ketika pengguna melayari aplikasi Youtube pada telefon bimbit ini.

Keseluruhan, Galaxy Mini memberikan segala yang optimum pada sebuah telefon bimbit yang bukan dari kategori high end. Dengan harga yang berpatutan, Galaxy Mini seharusya menjadi pilihan pengguna yang inginkan sebuah telefon bimbit yang meriah dengan pelbagai aplikasi menarik tetapi pada harga yang lebih rendah.



~ Teks: Helmi Zainal