Anak tudung pelengkap gaya

Ceria dan ringkas. Gaya anak tudung terkini yang mewarnai fesyen muslimah. Berinspirasikan trend pemakaian anak tudung ala serkup dan selendang berlapis yang digayakan oleh pelakon terkenal, Aida Radzwill dan penyanyi Yuna, Hajaba memperkenalkan koleksi terbaru anak tudung I-Da. Ia adalah seperti serkup kepala yang melekat di dahi dan begitu mudah untuk dipakai. Diperbuat daripada kain lycra yang diimport dari Jepun, terkenal dengan keselesaan semasa dipakai. Hasilnya, anak tudung ini amat selesa dan boleh dipelbagai guna.
Didatangkan dengan enam rekaan yang berbeza di bahagian hadapan anak tudung tersebut, ia pasti akan memberi kelainan kepada si pemakai. Sentuhan anak tudung tanpa corak, kosong, tiga lipatan, ada gabungan warna, tampal cantum dan bercorak menjadi pilihan yang lebih banyak kepada pelanggan.

Anak tudung I-Da boleh digayakan sendirian dan amat sesuai ketika beriadah, bersukan, berenang atau bersantai. Bahkan, ia mudah dan praktikal untuk dibawa semasa melancong atau mengerjakan umrah dan haji.

warna

Anak tudung gabungan beberapa warna memberi gambaran yang anda sedang memakai pelbagai warna anak tudung. Paduan pelbagai warna membuatkan anda tampil dengan gaya terkini dan berbeza dalam bertudung.

Fabrik lisu yang diguna sebagai susunan berlapis di bahagian hadapan memberi suatu kelainan dan lebih bergaya moden. Bagi menambahkan kelainan, gayakan dengan tudung Siti bercorak, tudung mini I-Da atau selendang panjang.

Selain itu, tiga lipat yang merupakan susunan tiga lipatan kain mengurangkan kesan leper di atas dahi. Ia direka dengan kreatif bagi membantu menambah seri pemakai dan tampak sesuai dengan semua jenis muka.

Tampal cantum adalah teknik jahitan di bahagian hadapan tudung yang memberi gaya lebih ranggi dan seri bila digaya dengan persalinan anda. Ia boleh dipadan dengan tudung mini I-Da atau tudung seri untuk penampilan yang bergaya.

Anak tudung I-Da bercorak pula adalah rekaan untuk memberi pelbagai pilihan untuk pelanggan Hajaba. Didatangkan dengan beberapa corak terkini untuk memeriahkan lagi koleksi tudung I-Da yang boleh digaya dengan tudung mini I-Da polos atau bercorak.

Dalam pada itu, pemilihan Aida Radzwill sebagai model eksklusif adalah sebagai satu ucapan terima kasih kepada Aida yang selalu memilih busana Hajaba di dalam kebanyakan drama lakonan beliau di kaca televisyen. Aida sangat sinonim dengan pemakaian anak tudung ala serkup dan selendang panjang dan busana muslimah yang bergaya.

Menurut pemilik butik Hajaba, Mona Din, dengan koleksi terbaru ini, penggemar fesyen muslimah akan mempunyai lebih banyak pilihan dalam mengayakan fesyen bertudung.

"Janganlah dijadikan alasan bentuk muka yang tidak sesuai untuk mencuba. Di Hajaba kami mempunyai pelbagai jenis tudung yang pasti bersesuaian dengan kehendak para muslimah," katanya.

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH