ADDEENIA Agro Trades Sdn Bhd (AATSB), syarikat milik penuh Bumiputera yang menghasilkan keju 100 peratus buatan tempatan jenama Dr Addeenia, mensasar untuk mencatatkan jumlah jualan sekurang-kurangnya RM10 juta tahun ini.
Pengarah Urusannya, Yuhanif Mohd Salleh, berkata keyakinan itu berdasarkan kepada petanda positif hasil perbincangan dilakukan syarikat dengan enam syarikat bertaraf multinasional selain hotel ternama untuk membeli keju buatan syarikat itu.
Menurutnya, berdasarkan perbincangan itu, syarikat terbabit menunjukkan minat positif untuk melanggan keju jenama Dr Addeenia.
“Jika semua perancangan berjalan baik, bagi tahun ini, syarikat bakal membekalkan keju bernilai sekurang-kurangnya RM10 juta hasil urus niaga ini,” katanya kepada Bisnes Metro, semalam.
Beliau berkata, AATSB mensasarkan untuk menguasai pembekalan keju di pasaran tempatan sebanyak 10 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Setiap tahun, Malaysia mengimport keju dari luar negara berjumlah ratusan juta ringgit dan jika kita dapat menukarnya kepada produk buatan tempatan, sudah tentu negara dapat menjimatkan banyak wang dalam bentuk tukaran asing,” katanya.
Katanya, Dr Addeenia mempunyai kelebihan berbanding produk keju lain di pasaran kerana menggunakan sepenuhnya bahan tempatan selain mematuhi kehendak hukum syarak dan ditanggung halal.
“Setakat ini, setahu saya belum ada produk keju yang dijual di negara ini mempunyai logo halal dan berdasarkan faktor itu, kami yakin Dr Addeenia akan menjadi pilihan pelbagai syarikat terutama yang terbabit secara langsung dengan penggunaan keju dalam produk dihasilkan mereka,” katanya.
Selain itu, Yuhanif berkata, AATSB juga bercadang mengeksport Dr Addeenia ke negara Eropah, Timur Tengah serta beberapa negara Asia lain.