Set hidangan Hari Kekasih

Meraikan hari istimewa bersama pasangan tersayang adalah antara perkara paling indah buat mereka yang sedang hangat melayari perasaan cinta dan kasih sayang. Tidak kiralah hari ulang tahun perkahwinan, hari lahir pasangan ataupun hari memperingati kekasih, lazimnya ia disambut meriah kerana tarikh itu cukup bermakna.

Bagi pasangan yang dilamun cinta, hari berkenaan sering disambut dengan pelbagai aktiviti yang penuh romantik seperti menikmati makan malam bertemankan cahaya lilin, menonton filem ataupun sekadar menghabiskan masa bersama. Tidak kurang juga yang gemarkan percutian romantis dengan pasangan tercinta.

Bagaimana pula dengan sambutan penuh bermakna di ruang persendirian anda? Anda boleh memilih suasana yang bukan saja romantis, tetapi juga menambah elemen yang boleh menyingkap kembali pengalaman peribadi dan detik bermulanya kisah percintaan anda.

Lokasi dan konsep serta kebersihan sesebuah restoran itu memainkan peranan yang penting selain suasananya yang indah dan sajian enak dihidangkan. Oleh itu, Restoran Chef & Brew yang terletak di Bukit Damansara adalah pilihan tepat untuk pasangan kasih bermadu kasih sambil menyambut Hari Kekasih yang disambut mereka.

Dihias ringkas serta suasananya yang nyaman, tanggal 13 dan 14 Februari ini, restoran yang dibuka sejak tiga tahun lalu itu menyediakan sajian set Valentine's Day sudah pasti memukau selera pasangan dua sejoli dengan hidangan buah pir yang dibentuk daripada keladi dan kerang-kerangan sebagai pembuka selera.

Sambil menunggu hidangan seterusnya, sup ikan yu bersama cebisan daging ayam sesuai diminum sambil berbual mesra bersama yang tersayang dan menceritakan kenangan sepanjang pengenalan berlangsung.



Sementara itu, dua sajian utama boleh dipilih sama ada udang bakar bersama asparagus disertakan dengan sos cendawan berkrim dengan pilihan jejari ikan mentega atau jejari ayam panggang dihidangkan bersama kentang rebus, brokoli dan lobak.

Jangan berhenti di situ saja, jamuan makan malam bersama yang tersayang tidak lengkap tanpa pemanis mulut yang enak dan manis disuapkan ke dalam mulut sebagai tanda cinta dan kasih sayang. Nikmatilah kek berperisa teh madu yang didatangkan dalam lapisan dan dihiasi dengan taburan cip coklat putih.

Sempena meraikan Hari Kekasih, set Valentine's Day menawarkan harga menarik iaitu RM69.90++ setiap satu hanya untuk dua hari iaitu dari 13 Februari hingga 14 Februari ini untuk waktu makan tengah hari dan malam.

Info: Restoran Chef & Brew

* Lokasi: Di selekoh simpang Jalan Medan Setia 1, Bukit Damansara
* Hidangan: Set Valentines Day
* Harga: RM69.90++
* Telefon: 03-20959799

Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar