Pelembut Kain Aroma Soft Hot Perfume

Bertemakan slogan 'Lebih Semerbak, Lebih Lembut, Lebih Jimat' syarikat Hot Perfume melangkah setapak ke hadapan dengan memperkenalkan produk baru khusus untuk kegunaan seisi keluarga iaitu 'Aroma Soft' pewangi kain dengan pelembut berasaskan wangian.


Kajian dijalankan unit penyelidikan dan pembangunan (R&;D) syarikat itu dalam usaha mengembangkan produk Hot Perfume berjaya menampilkan beberapa produk terbaru termasuk pewangi kain itu.

Sebelum ini, Hot Perfume mengeluarkan 10 jenis haruman antaranya Strawberry, Apple Blossom, Lavender, White Musk, Floral Lime, Pot Pourri, Look Blue, Give 5, Beautiful dan Teddy Dream.

Kesemua haruman itu menggunakan pati berasaskan jenama minyak wangi alternatif yang digemari pengguna dan laris dijual pada harga berpatutan di pasaran dalam negara mahupun antarabangsa.

Hot Perfume juga sebelum ini memasarkan kira-kira 200 jenama minyak wangi alternatif diimport khas dari Perancis dan Mesir yang menjadi produk kegemaran baru di kalangan pencinta wangian tanpa mengira lapisan masyarakat. Selain itu, beberapa produk lain turut dihasilkan seperti semburan wangian kereta serta rumah dan sabun mandian pati minyak wangi.

Pengarah Urusan Hot Perfume, Ahmad Shazali Zahidi, 43, berkata produk pewangi kain yang dihasilkan syarikatnya mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding produk sedia ada di pasaran.

Beliau berkata, antara keistimewaannya produk itu mempunyai dua kali ganda kuasa wangian berbanding pewangi kain lain kerana menggunakan pati wangian pelembut dalam proses penghasilannya.


"Pengguna boleh memiliki sebotol 'Aroma Soft' 800 mililiter (ml) pada harga RM17.90 yang mampu digunakan sehingga 50 cucian," katanya ketika ditemui di pejabat urusan dan pusat pengedaran Hot Perfume di Kuala Kangsar, Perak, baru-baru ini.

Di samping pewangi kain, Ahmad Shazali berkata, Hot Perfume turut menghasilkan sejenis produk aroma terapi yang diberi nama 'Aroma Theraphy Cone'.

Katanya, produk itu mampu membantu pengguna untuk menenangkan jiwa dan fikiran serta mengurangkan tekanan selepas penat menjalankan tugas seharian.

"Dengan harga serendah RM5.90 bagi setiap paket 100 gram (gm), pengguna dapat menikmati haruman aroma terapi yang mampu bertahan selama 15 minit setiap kali digunakan.

"Sebagai permulaan produk ini dihasilkan dengan enam jenis haruman iaitu Strawberry, Apple Blossom, Teddy Dream, Beautiful, Pot Pourri dan Floral Lime," katanya.

Ahmad Shazali berkata, Hot Perfume mensasarkan sekurang-kurangnya 12 jenis produk baru sepanjang tahun ini bertujuan untuk memenuhi kehendak pengguna yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, penambahan produk itu sejajar dengan visi utama Hot Perfume iaitu menjadi pembekal minyak wangi alternatif utama di Malaysia serta barangan sampingan lain, terutama di kalangan pengguna Islam yang mementingkan status halal dan kebersihan setiap produk digunakan.

Justeru, tidak hairan apabila Hot Perfume berpeluang menjadi antara penaja dalam Pencarian Wanita Pilihan Berita Harian (PPBH) tahun ini.

Hot Perfume kini mempunyai 150 stokis dan lebih 10,000 ejen bergiat aktif dalam pemasaran produk di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak termasuk di Brunei dan Singapura.

Mereka berminat menjadi stokis mahupun ejen, boleh melayari laman web Hot Perfume di www.hotperfume.biz bagi mendapatkan informasi mengenai produk yang ditawarkan.